Ambiga Disiasat Kes BTN Atas Kesalahan Hasutan

Kuala Lumpur – Serangan bertalu-talu atas kesalahan hasutan di negara ini berterusan dan kini polis menyiasat Datuk Ambiga Sreenevasan susulan kenyataan yang dibuat peguam itu mengenai Biro Tatanegara (BTN) pada satu persidangan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

The Malaysian Insider difahamkan laporan polis dibuat terhadap Ambiga oleh satu kumpulan Melayu, Persatuan Pertubuhan Merah Terengganu pada 2 Oktober.

Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam yang kini penaung pergerakan Negara-ku, dituduh mendakwa kem BTN hanya sesi membasuh otak orang Melayu menjadi rasis dan pentaksub.

Bekas pengerusi bersama kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
Peguam itu dilaporkan berkata ibu bapa kepada anak perlu menghadiri kem itu, terkejut dengan objektif dalam modul yang disediakan dan perkara diajar di sana.

“Saya ada bertemu beberapa orang Melayu yang menghadiri kem berkenaan dan mereka rasa jijik serta marah.

“Apa maksudnya itu? Melayu dibasuh otak menjadi rasis dan taksub ketika menghadiri kem itu,” kata Ambiga seperti dilaporkan The Malaysian Insider pada 30 September.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kebangsaan Anti-Diskriminasi yang bertajuk “Perpaduan dan Penyatuan Sosial di Malaysia – Jadikannya bukan suatu yang mustahil” di Kuala Lumpur.

Polis Terengganu turut menghubung The Malaysian Insider semalam dan memaklumkan mereka mahu merakamkan kenyataan wartawan yang menulis laporan bereknaan.

BTN berada di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri dan sering mengadakan kem, terutama bagi kakitangan kerajaan dan pelajar.

Ambiga, yang memang lantang membangkitkan isu perkauman dan hak asasi manusia, kini menyertai ahli politik pembangkang, aktivis sosial, ahli akademik undang-undang dan portal berita Malaysiakini serta seorang wartawannya, di samping pendakwah Islam, yang semuanya sama ada didakwa mengikut Akta Hasutan, berdepan perbicaraan atau disiasat sejak beberapa minggu ini.

Minggu lalu, pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari diminta memberi kenyataan kepada polis selepas laporan dibuat terhadapnya kerana dituduh menghina Sultan Selangor.

Awal bulan ini, aktivis Safwan Anang dan Adam Adli Abd Halim, masing-masing dihukum penjara 10 bulan dan 12 bulan, kerana kenyataan yang mereka buat pada satu forum 13 Mei tahun lalu – menyeru rakyat turun ke jalanan membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Aktivis Ali Abd Jalil berdepan 3 tuduhan hasutan kerana didakwa menghina kerabat kesultanan Johor dan Sultan Selangor di Facebook.

Ali, diisytihar sebagai Banduan Teraniaya oleh Amnesty International, dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditahan lebih 20 hari.

Jumaat lalu, polis mengambil kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 2011, di mana beliau dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengenai kes liwat keduanya.

Pada 20 September, polis merakamkan kenyataan peguam Edmond Bon, yang disiasat kerana menghasut apabila berkata bukan Islam tidak tertakluk kepada fatwa atau Mahkamah Syariah.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor Wan Ji Wan Hussin, didakwa pada 10 September kerana menyiarkan kenyataan berunsur hasutan di Facebook yang memperkecilkan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam dalam negeri.

Pada 4 September, wartawan Susan Loone ditahan di Pulau Pinang berhubung artikelnya yang menemuramah Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Phee Boon Poh yang ditahan beramai-ramai bersama anggota Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) pada hari sambutan kemerdekaan.

Ahli politik pembangkang yang turut didakwa kerana kesalahan menghasut ialah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N. Rayer. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.