SHAH ALAM, 9 September 2024 – Dalam usaha mengatasi pelbagai cabaran kewangan yang dihadapi oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) melancarkan program Bina SME yang bertujuan membantu para usahawan mendapatkan kembali kekuatan kewangan mereka. Berdasarkan pengalaman selama 16 tahun melatih dan membimbing usahawan di Malaysia, RichWorks mendapati bahawa 90 peratus usahawan yang ditemui tidak berjaya mencapai matlamat kewangan lebih baik melalui perniagaan mereka.
Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman, menyatakan bahawa banyak usahawan menghadapi cabaran besar seperti persaingan yang sengit dan kenaikan kos perniagaan yang membebankan. Program Bina SME dilancarkan bagi menyediakan solusi praktikal dan bimbingan khusus kepada PKS, terutama yang sudah beroperasi lebih dari enam bulan.
“Kami yakin dengan pengalaman yang ada, kami mampu bantu lebih ramai usahawan untuk bangkit menghadapi cabaran kewangan yang semakin mencabar, terutama menjelang tahun 2025,” ujar Azizan ketika merasmikan program tersebut di ibu pejabat RichWorks. Beliau menekankan bahawa masa depan perniagaan akan lebih mencabar dan usahawan perlu bersedia dengan strategi yang kukuh.
Melalui program Bina SME, RichWorks menumpukan perhatian kepada usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bertekad untuk membantu mereka mengharungi cabaran semasa ini. Program ini turut menyasarkan usahawan yang serius dan komited untuk berkembang dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd., Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya, dan Ketua Pegawai Bimbingan dan Mentoran, Hafiz Jasmi turut hadir dalam pelancaran tersebut.
Azizan menambah, “Dengan berbaki hanya beberapa bulan sahaja lagi sebelum tahun 2025, ini adalah waktu yang kritikal bagi usahawan untuk memastikan perniagaan mereka terus kukuh. Melalui program ini, RichWorks akan membantu usahawan mendapatkan strategi terbaik bagi meningkatkan kewangan dan memperkukuh perniagaan mereka.”
RichWorks, sebagai syarikat latihan dan bimbingan keusahawanan terbesar di Malaysia, komited dalam membantu PKS mendapatkan keputusan kewangan yang lebih baik melalui penjenamaan, pemasaran, dan kepimpinan. Sejak 2008, syarikat ini telah melatih lebih dari 16,000 syarikat dan berjaya membantu ramai usahawan mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.
Para usahawan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini boleh melayari laman web rasmi di (http://www.binasme.com).