KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sejak awal lagi menyatakan Ahli Parlimen Seputeh tidak melanggar undang-undang berkenaan kenyataan beliau mengenai isu pensijilan halal.
Fadhli malah menegaskan, Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak pula menyatakan pimpinan-pimpinannya yang disiasat terkait isu 3R (agama, raja, kaum) sebagai tidak bersalah sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan adil.
“Sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Meneteri Besar Kedah disiasat berkait dengan 3R, pemimpin PN tidak pertahankan dengan menyatakan mereka sama sekali tidak bersalah, cukup menyerahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dilakukan dengan adil.
“Tetapi apabila Teresa Kok disiasat, Setiausaha Agung DAP awal-awal lagi meyakini dia tidak bersalah dan tidak melanggar undang-undang. Walaupun dia menyebut perkataan ‘memalukan negara’.
“Besar sungguh isyarat daripada kenyataan ini. Tetapi apa nak dibimbangkan, tanpa parti terbesar dalam kerajaan ini, PMX akan bertukar menjadi XPM (bekas PM),” katanya.
Terdahulu, Anthony Loke menyatakan, pucuk pimpinan DAP yakin bahawa Teresa Kok tidak melanggari undang-undang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dengan menyampaikan pandangan terdapat sesuatu dasar kerajaan.
“Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara bahawa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap kenyataan beliau mengenai isu pensijilan halal baru-baru ini.
“Biro Guaman DAP akan menemani dan memberi nasihat undang-undang kepada Teresa Kok dalam proses tersebut dan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis,” ujarnya.
Baru-baru ini, Teresa berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.