Tingkat Segera Kemudahan Telekomunikasi Di Pulau Untuk Penduduk, Pelancongan – Annuar

- Advertisement -

SEMPORNA – Kemudahan telekomunikasi di pulau berpenduduk serta pulau tumpuan pelancong termasuk di sini perlu ditingkatkan dengan kadar segera, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata telekomunikasi wajar diberi keutamaan di kawasan pulau kerana selain memberi kemudahan kepada penduduk, aktiviti pelancongan adalah antara skop ekonomi yang mampu menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Misalnya di Pulau Sipadan, kalau secara teknologinya boleh kita ‘tembak’ (pancar) dari menara (telekomunikasi) terdekat 11 kilometer sampai Pulau Sipadan maka saya nak tengok dengan segera di pulau itu ada kemudahan liputan perkhidmatan jalur lebar.

“Kita nak pastikan selagi mana boleh semua pulau pelancongan dan berpenduduk perlu mempunyai pelan telekomunikasi bagi kesalinghubungan 100 peratus kawasan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di empat pos kawalan keselamatan di sini hari ini.

Annuar berkata jika pulau terbabit tidak termasuk dalam senarai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 maka pembangunan telekomunikasi itu perlu dilaksanakan dalam projek khas dan akan diberi keutamaan.

Annuar berkata JENDELA Fasa 2, yang akan dilaksana dalam tempoh 2023 hingga 2025, kini dalam proses menyiapkan dokumen untuk memanggil tender dan majoriti projek itu akan melibatkan Sabah serta Sarawak.

“Peruntukan keseluruhan JENDELA lebih kurang RM4 bilion dan Fasa 2 sebahagian besar untuk menyediakan jalur lebar satelit di kira-kira 1,400 lokasi yang terlalu jauh (untuk teknologi) fiberisation, ini bagi memastikan kawasan itu tidak tertinggal,” katanya.

Annuar, yang juga Ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata isu nasib kanak-kanak Pala’u di Sabah telah sampai ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat majlis berkenaan.

Beliau berkata ada badan bukan kerajaan turut membawa isu ini yang menyaksikan kanak-kanak terbabit sukar ke sekolah kerana tidak memiliki dokumen kerakyatan dan perkara itu wajar diambil perhatian demi masa depan mereka atau atas dasar perikemanusiaan.

“Perlu ada kaedah lebih sesuai untuk jangka panjang kerana ini sumber manusia yang ada nilai tertentu yang tidak boleh dibiarkan, kementerian berkaitan sedang melihat secara terperinci dan sudah tentu kementerian berkaitan perlu mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Isu ini unik dan tiada di negeri lain, ini isu kemanusiaan, isu ada komuniti yang sudah duduk bersama rakyat tetapi tidak punya dokumen lengkap,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat