801 Along Ditahan Sejak Januari Tahun Ini – Polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis menerima sejumlah 683 kes berkaitan pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan menahan seramai 801 along sejak Januari hingga Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata semua laporan yang diterima membabitkan pinjaman berjumlah RM2.92 juta.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan dan punca pendapatan sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada along tanpa memikirkan kesannya.

“JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenal pasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang bergerak aktif di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata JSJK Bukit Aman telah menahan 11 lelaki dan tiga wanita tempatan berumur lingkungan 15 hingga 34 tahun di daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri di Johor menerusi operasi ‘vulture’ pada Selasa lepas.

Katanya mereka terdiri daripada dua sindiket iaitu kumpulan Ah Han dan Ah Sing yang disyaki terlibat dalam aktiviti along menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan serta swasta sebagai mangsa.

Mohd Kamarudin berkata kumpulan itu dipercayai beroperasi kira-kira setahun hingga dua tahun lepas sejak pertengahan 2019 dengan modus operandi menawarkan pinjaman wang di laman media sosial iaitu Facebook serta aplikasi sembang maya seperti WeChat dan WhatsApp dengan kadar faedah 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

“Apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa akan dihubungi oleh ahli sindiket melalui telefon dengan memberikan tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti mengunjungi kediaman dan tempat kerja untuk melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan kekerasan jenayah ke atas harta benda milik peminjam,” katanya.

Beliau berkata ahli sindiket terbabit juga berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan pinjaman terdahulu.

“Ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat