Tinggal Dunia Gengsterisme Selepas Peluk Agama Islam

ALOR SETAR – Ketika hidup dirundung masalah gengsterisme, hutang dan rumah tangga, seorang lelaki berketurunan Tionghua menerima hidayah selepas dipelawa bersembahyang di Masjid Derga, di sini, tahun lalu.

Chee Yin Wei atau nama Islamnya, Abdul Rahman Abdullah, 38, dari Taman Derga Jaya di sini, berkata dia bersyukur dipilih Allah SWT menjadi seorang Islam dan kini hidupnya semakin tenang.

Beliau mengakui tidak pernah terlintas untuk memeluk Islam sehingga bertemu seorang rakan dikenali sebagai Adam di perkarangan masjid berkenaan untuk menceritakan masalahnya.

“Apabila sampai di situ, saya diajak Adam untuk solat. Saya bertanya kepada Adam adakah saya boleh solat sedangkan saya bukan muslim, namun Adam kata boleh, lalu mengajar saya berwuduk dan menunaikan solat Asar ketika itu.

“Saya hanya mengikut sahaja pergerakan solat sehinggalah selesai dan ternyata setiap sujud itu memberi ketenangan kepada saya, sejak itu saya sering memandang ke langit seperti mencari sesuatu,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Kacau Bubur Asyura Bersama Saudara Baru anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, baru-baru ini.

Bekas cef sebuah hotel di Singapura itu, berkata selepas itu dirinya sedar bahawa apa yang perlu dicari adalah Tuhan yang mencipta manusia dan bermula dari saat itu, dia berhasrat memeluk Islam dan pergi ke masjid untuk mencari imam.

“Empat masjid yang saya pergi tetapi tiada imam pada waktu itu. Pada masjid terakhir iaitu Masjid Jalan Pegawai, di sini, ketika menghidupkan motosikal untuk pulang ke rumah, tiba-tiba bilal memanggil saya memberitahu imam sudah sampai.

“Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah 7 Ogos tahun lalu di hadapan imam dan ahli jawatankuasa masjid, saya akhirnya merasakan semua masalah selesai.

“Ketenangan yang saya peroleh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, walaupun pada mulanya ibu saya tidak dapat menerima saya sudah memeluk Islam, kini dia insan yang menghantar saya menunaikan solat Jumaat di masjid,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, kehidupannya sebelum ini hanya kelihatan hebat di sisi manusia namun sebenarnya tidak menenangkan jiwa dan jiwa yang tenang adalah dengan mengingati Allah.

Katanya, Islam juga agama yang sempurna dan mengajar manusia dengan penuh adab dan ilmu dalam setiap perbuatan walaupun mahu masuk tandas dan menukar pakaian.

“Saya dahulu sudah tiga kali dipenjarakan, selepas peluk Islam saya tinggalkan dunia gengsterisme, walaupun hidup saya kini susah tapi saya tetap bersyukur kerana berada di landasan dengan agama Allah,” katanya.

Beliau berkata, beliau kini mengambil upah memasak namun tidak selalu mempunyai tempahan.

Katanya walaupun ada ketika terpaksa mengikat perut dan hanya makan mi segera, dirinya tetap menganggap ia rezeki Allah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.