Siapa Rafizi Untuk Umum Kerusi Parlimen Mana Akan Ditandingi Anwar? – Tian Chua

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi parti itu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, mendakwa tiada sesiapa pun dalam kalangan pimpinan parti yang mengetahui mengenai perkara itu, namun secara tiba-tiba ia diumumkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, kelmarin.

Tian Chua berkata, Rafizi tidak berhak membuat pengumuman itu memandangkan keputusan mengosongkan kerusi Parlimen dan Ahli Parlimen mana yang perlu berbuat demikian tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan PKR.

“Siapa Rafizi untuk umum? (Presiden PKR) Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) terpaksa mengesahkan kerana Rafizi sudah umum. Kita pun tak pasti sama ada Wan Azizah tahu atau tidak kerana Rafizi yang umum dulu.

“Isunya ialah tiada sesiapa pun yang tahu ada langkah sebegitu (mengosongkan kerusi Parlimen tertentu). Sama seperti ‘Kajang move’, tak ada siapa yang tahu.

“Ia sepatutnya dibincang pada peringkat pimpinan parti, tak boleh dibuat secara sorok-sorok,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan di Twitter miliknya semalam, mengenai seseorang yang melantik diri sendiri sebagai ‘kingmaker’ untuk setiap perkara.

Dalam Tweet sama, Tian Chua turut mempersoalkan berapa kali individu berkenaan mahu mengheret parti ke dalam lumpur seperti yang berlaku ketika ‘Kajang move’.

Malam kelmarin, Rafizi dalam siri jelajah kempen pemilihan parti itu, mendedahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan minggu depan, bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Susulan itu, Wan Azizah, ketika ditemui semalam, mengesahkan satu kerusi akan dikosongkan untuk Anwar, namun enggan mendedahkan Ahli Parlimen mana akan berbuat demikian.

Tian Chua berkata, pengumuman yang penting itu sepatutnya dibuat selepas dibincang bersama pimpinan PKR serta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Majlis Presiden PH perlu dimaklumkan kerana Anwar akan jadi ketua PH dan Perdana Menteri, ini bukan perkara remeh dan kita tak boleh perkecilkan peranan Anwar.

“Dia (Rafizi) tidak berhak untuk buat pengumuman dan tidak berhak pergi merata tempat umum seolah-olah dia seorang yang buat keputusan untuk segala-galanya,” katanya.

Ditanya sama Rafizi adalah dalang di sebalik langkah terbaru itu, Tian Chua secara sinis berkata semua perkara dan keputusan dalam PKR dirancang bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Dia mahu tunjukkan kepada dunia seolah-olah semua dia yang rancang. Jika lihat balik kenyataannya, dia kata dia yang rancang Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PH ditubuhkan, serta supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijatuhkan, semua dia rancang.

“Sekarang ini dia juga rancang supaya peralihan Perdana Menteri itu untuk Anwar. Semua dia rancang kalau nak ikut hujah dia,” katanya sambil ketawa sinis.

NSTP sedang mendapatkan maklum balas Rafizi berhubung perkara ini. – BH

One thought on “Siapa Rafizi Untuk Umum Kerusi Parlimen Mana Akan Ditandingi Anwar? – Tian Chua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.