Jenazah Abu Hassan Akan Dikebumikan Di Makam Diraja Shah Alam

SHAH ALAM: Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar yang meninggal dunia malam tadi dijangka akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Zohor hari ini.

Pegawai khasnya, Datuk Mohamad Isa Ishak berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Negeri.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam untuk menghadiri pengebumian Allahyarham,” katanya ketika ditemui di kediaman Menteri Besar Selangor ke 12 itu, di sini.

Mohamad Isa berkata, Abu Hassan meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat serangan jantung.

“Allahyarham tidak sedarkan diri di rumahnya petang tadi sebelum dibawa ke Columbia Asia Hospital, di Bukit Rimau.

“Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Wan Nor Daud, empat anak, 15 cucu dan seorang cicit,” katanya.

Isa berkata, kali terakhir bertemu Allahyarham pada Jumaat lalu ketika beliau datang ke rumahnya kerana urusan kerja

Abu Hassan adalah menteri besar Selangor ke-12 dan memimpin negeri dari 6 Jun 1997 sehingga 9 Ogos 2000.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib pada 1997.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar 2005 hingga kini.

Antara kenamaan yang hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Turut kelihatan, bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa serta bekas ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil dan bekas ADUN Melawati, Jakiran Jakomah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.