Bekas Ketua Hakim Pertikai Tindakan Jabatan Peguam Negara Gugur Kes Rasuah Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan tindakan Pejabat Peguam Negara menarik balik kes tuduhan rasuah dihadapi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Dalam kenyataan 13 muka surat yang dimuat naik dalam laman blog beliau, Abdul Hamid pada masa sama mempersoalkan kenyataan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria bahawa keputusan nolle prosequi (tidak meneruskan pendakwaan) dibuat tanpa penglibatan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Abdul Hamid turut menempelak kenyataan Mohamad Hanafiah bahawa pihak pendakwaan sebenarnya memohon kepada mahkamah untuk satu perintah `pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan’, dan bukannya pelepasan dan pembebasan sebagaimana telah diputuskan.

“Adakah beliau tidak yakin dengan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan atau beliau semata-mata mahu memilih jalan selamat, jalan tengah, supaya beliau tidak boleh dipersalahkan dan kedudukannya tidak terjejas?

“Sekiranya mahkamah memutuskan pelepasan terjumlah kepada pembebasan, mahkamah akan dipersalahkan sementara Guan Eng, DAP dan PH (Pakatan Harapan) akan berasa gembira manakala Peguam Negara tidak akan rasa kekok apabila bertemu dengan Guan Eng,” soal beliau.

Abdul Hamid memberitahu, sekiranya pihak pendakwaan benar-benar serius mahukan pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan, mereka sepatutnya merayu terhadap keputusan itu.

“Atau adakah mereka gembira dengan keputusan tersebut kerana menerima lebih daripada apa diharapkan selain boleh menyalahkan mahkamah mengenainya,” dakwa beliau. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.