Wasatiyyah Karya Najib Dipopularkan Di Indonesia

JAKARTA – Konsep pemikiran kesederhanaan dalam Islam atau wasatiyyah yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipopularkan di Indonesia menerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia-Indonesia yang dikenali sebagai Nusasentris.

Ketua Nusasentris Malaysia, Budiman Mohamad Zohdi, berkata NGO itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat dan sebagai permulaaan, Nusasentris melancarkan buku Wasatiyyah: Idea dan Realitis yang ditulis oleh Najib, lapor Bernama.

Buku itu dialih bahasa ke bahasa Indonesia terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan syarikat penerbitan Indonesia, Penerbit Penjuru Ilmu.

Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Pameran Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 di sini, semalam. Yang turut hadir Ketua Nusasentris Indonesia, Ahmad Doli Kurnia.

Budiman yang juga Pengerusi ITBM berkata, selain penerbitan buku bersama, Nusasentris juga akan mempergiat aktiviti sosial dalam kalangan anak muda dari kedua-dua negara.

Sementara itu, Reezal berkata, konsep wasatiyyah yang dikembangkan oleh Perdana Menteri bukan sekadar kesederhanaan, bahkan merangkumi kualiti keseimbangan, tawaduk dan kecemerlangan.

“Kita adalah umat yang terbaik dan untuk menjadi umat terbaik, kualitinya ialah kualiti yang ada dalam wasatiyyah,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan buku Wasatiyyah dalam bahasa Indonesia akan memberi peluang kepada rakyat negara berkenaan memahaminya secara lebih mudah dan menjadi tonggak mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Ahmad Doli, berkata pihaknya akan mengajak ramai anak muda supaya lebih mengutamakan perpaduan dan menghargai persamaan yang terdapat antara rakyat Malaysia dengan Indonesia.

“Kita akan membuat program yang membabitkan pemuda untuk mengembangkan kebudayaan, bidang pendidikan dan sosial. Salah satu tombak awalnya adalah melalui buku tentang wasatiyyah,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting bagi kedua-dua negara mengeratkan hubungan antara rakyat, terutama dalam kalangan anak muda selain hubungan antara kerajaan dengan kerajaan dan swasta dengan swasta.

“Jadi kita akan terbitkan beberapa pemikiran yang menyamakan pandangan masyarakat Indonesia dengan Malaysia. Itu saya kira yang ke depan kita akan membentuk masyarakat Nusasentris,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.