Umat Islam Bantu Etnik Rohingya, Kata Timbalan Mufti Kelantan

TUMPAT – Hampir 1,000 penduduk sekitar Wakaf Bharu di sini menunaikan solat hajat solidariti Rohingya di pekarangan Pasar Wakaf Bharu di sini, malam ini.

Solat hajat yang diimamkan Timbalan Mufti Kelantan, Nik Abd Kadir Nik Muhamad, turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu.

Program berkenaan adalah anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, dan antara pengisian adalah ceramah perdana isu semasa serta tayangan video penindasan di Myanmar.

Nik Abd Kadir berkata, solat hajat bertujuan mendoakan keadaan keselamatan penduduk Rohingya yang ditindas serta menunjukkan sokongan kepada masyarakat itu.

“Kita sebagai orang Islam wajib membantu rakyat Rohingya yang tertindas termasuk mendoakan keselamatan mereka dan bantuan kewangan.

“Islam menuntut supaya mereka (rakyat Rohingya) diberikan hak kerana mereka sudah berabad tinggal di negara itu dan tidak sepatutnya dinafikan hak,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, pihaknya mewujudkan tabung untuk membantu masyarakat Rohingya dan menyarankan agar orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan.

“Kita akan menganjurkan solat hajat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk mendoakan keselamatan masyarakat Rohingya,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.