Tiada Kekecohan Ekoran Kemalangan Dekat Sungai Petani

Polis menafikan berlaku kekecohan di Jalan Kuala Ketil-Bukit Selambau berhampiran Jalan Kongsi 14 dekat Sungai Petani, susulan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Saifi Abdul Hamid berkata, kemalangan terbabit juga hanya melibatkan satu kematian, bukan dua kematian seperti maklumat yang tular dalam media sosial.

“Tiada sebarang isu timbul susulan kes kemalangan itu dan kemalangan hanya melibatkan kematian seorang penunggang motosikal, apa yang tular (kekecohan) itu tidak benar sama sekali.

“Kes kemalangan maut ini kita sedang siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Dalam kemalangan itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Taman Kelisa menghala ke Bukit Selambau, dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.