PM Harap AS Lihat Malaysia Rakan Dipercayai

Menjelang lawatannya ke Amerika Syarikat (AS), perdana menteri berharap Malaysia dilihat sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam perdagangan, pelaburan dan hal ehwal keselamatan.

Datuk Seri Najib Razak berkata demikian dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau malah berkata akan menulis pandangan berkaitan perkara itu, dengan pesanan khas kepada pentadbiran AS.

“Kita harap syarikat-syarikat AS akan lihat Malaysia antara negara-negara utama untuk pelaburan.

“Kita juga mahu akses kepada syarikat bioteknologi keran kita perlukan penyertaan mereka dalam bentuk pelaburan dan pemindahan teknologi dari AS,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di ibu pejabat Umno di ibu negara.

 

Najib dijadual terbang ke AS pada 12 September depan atas undangan Presiden AS Donal Trump sempena 60 tahun hubungan dua hala Malaysia-AS.

Lawatan itu dispekulasi media tempatan dan bekas duta besar AS di Kuala Lumpur mempunyai kaitan dengan siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) negara itu terhadap aset berkaitan 1MDB yang didakwa dicuci melalui sistem kewangannya.

Malaysia Official 1 (MO1) yang diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Najib, disebut berkali-kali dalam saman sivil itu.

Selain bertemu Trump di Rumah Putih, Najib juga dikatakan akan terlibat dalam pertemuan dua hala dengan Naib Presiden AS Mike Pence.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.