‘Perak Festival Of Ideas’ Bakal Jadi Acara Tahunan

Program ‘Perak Festival of Ideas’ (PFoI) akan dijadikan acara tahunan sebagai usaha untuk mengumpul idea atau pandangan dalam membangunkan negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program PFoI yang bermula sejak Rabu lepas telah berjaya mengumpul kira-kira 5,000 idea daripada pelbagai kaum, kumpulan dan latar belakang.

“Pada mulanya, ramai yang kritik PFoI tapi ramai yang tidak tahu program itu adalah tentang idea suara anak Perak, suara rakyat, suara anak muda dan suara mereka yang bergelar profesional.

“Kita akan teruskan program PFoI, tetapi kita perlu mengkaji dahulu apakah bidang-bidang yang kita perlu menambahbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup ‘Ipoh Youth Forum’ 2017 (IYF17) di Ipoh, hari ini.

Zambry berkata program PFoI juga telah berjaya mengumpulkan peserta-peserta terutama dari golongan belia dari dalam negara dan juga luar negara.

Mengenai program IYF17, Zambry berkata program itu bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti antara belia dan para pemimpin negeri.

“Dalam konteks negeri, kita akan terus bekerja bersama-sama, mungkin ada yang menjadi penghalang sebelum ini untuk mendekati pemimpin, tetapi seperti saya sebutkan, biarkanlah ia seperti biasa dan cara kita berinteraksi kena berbeza tak boleh lagi ada protokol,” katanya.

 

Program IYF17 adalah sebahagian daripada Perak Festival of Ideas yang bermula pada 6 Sept lalu sehingga 12 Sept ini diadakan bersempena Dialog Pangkor 2017 (PD 2017) selama dua hari mulai 11 Sept ini.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!