Myanmar Tanam Jerangkap Samar Di Sempadan

DHAKA, Banglandesh – Myanmar menanam jerangkap samar di sebuah kawasan sempadannya dengan Bangladesh dekat negeri Rakhine, dipercayai bagi menghalang pelarian Rohingya daripada kembali ke tanah air mereka, kata dua sumber kerajaan di Dhaka, lapor Reuters.

“Mereka (askar Myanmar) menanam jerangkap samar dalam wilayah mereka di sepanjang pagar kawat berduri di antara sebilangan batu pe­nanda sempadan,” kata salah seorang sumber tersebut, petik Kosmo.

Kedua-dua sumber berkata, Bangladesh mendapat tahu tentang jerangkap samar itu melalui bukti bergambar dan pemberi maklumat.

“Tentera kami turut melihat tiga atau empat kumpulan individu berada dekat pagar kawat berduri itu. Mereka menanam sesuatu di dalam tanah.

“Kami kemudian mengesahkan de­­ngan pemberi maklumat kami bahawa mereka menanam jerangkap samar,” kata sumber itu.

Kedua-dua sumber tidak menjelaskan sama individu dalam kumpulan berkenaan memakai seragam tentera tetapi pasti bahawa mereka bukan pemberontak Myanmar.

Terdahulu, pegawai sempadan Myanmar, Mazurul Hassan Khan memberitahu agensi berita Reuters bahawa dua letupan kedengaran di sebelah sempadan Myanmar kelmarin, manakala dua letupan lain berlaku pada hari sebelumnya sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa tentera Myanmar memasang jerangkap samar.

“Seorang budak lelaki hilang kaki kirinya dalam letupan dekat sebuah lintasan sempadan kelmarin sebelum dia dibawa ke Bangladesh untuk dirawat,” kata Mazurul sambil menambah, letupan itu dipercayai berpunca daripada jerangkap samar.

Seorang pelarian Rohingya yang pergi ke lokasi letupan itu merakam sebuah jerangkap samar berukuran 10 sentimeter hampir tertanam di dalam lumpur. Katanya, dia percaya terdapat lebih banyak bom itu ditanam di dalam tanah.

Sementara itu, Bangladesh akan membuat aduan rasmi lewat semalam berhubung tindakan Myanmar menanam periuk api begitu hampir dengan sempadan kedua-dua negara.

Operasi pembersihan oleh tentera Myanmar yang dilancarkan selepas serangan pemberontak Rohingya terhadap anggota pasukan keselamatan pada 25 Ogos lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 400 orang terbunuh, manakala hampir 125,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.