Malaysia Hantar Bantuan Kepada Pelarian Rohingya Hari Ini

Kerajaan akan menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan dan barangan keperluan harian bernilai RM4 juta kepada pelarian Rohingya yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar, hari ini,

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata misi penghantaran bantuan itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua kepimpinan Barisan Nasional dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di ibu negara petang semalam.

“Kerajaan juga mendapat penajaan daripada syarikat penerbangan untuk membawa bantuan kemanusian ini bagi membantu masyarakat Rohingya yang lari menyelamatkan diri,” katanya ketika berucap di majlis kenduri rakyat bersempena Program Merdeka Ride 2017 di Bagan Datoh malam tadi.

Di majlis itu, Ahmad Zahid yang merupakan Penaung Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) turut meraikan konvoi 350 anggota SAM dari seluruh negara selain konvoi superbikers dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei bersempena Merdeka Rides.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh turut meraikan tiga pasangan pengantin selain menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf terpilih.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri turut meminta kumpulan superbikers tanpa mengira bangsa, kaum dan negara agar menyatakan solidariti serta prihatin dengan nasib pelarian Rohingya.

“Kita perlu berasa syukur dengan keamanan yang dikecapi, namun jangan dilupakan bahawa pelarian Rohingya yang sengsara ekoran dinafikan hak mereka,” katanya.

ATM sedia serta misi kemanusiaan

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata ATM bersedia menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine, Myanmar, jika diperlukan.

Beliau berkata ATM sebagai sebuah organisasi yang lengkap dan mempunyai pengalaman luas dalam beberapa misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa memang mempunyai satu batalion khas untuk melaksanakan tugas-tugas khas seperti dalam misi pengaman dan kemanusiaan.

“Semalam saya dapat arahan daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk kita melihat apa keperluan yang kita boleh kita sedia untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine dan yang berlindung di sempadan Bangladesh.

“Kita mampu mengerakkan (misi kemanusiaan) sekiranya perlu, sekiranya kalau perubatan diperlukan kita hantar satu hospital lapangan, kita mempunyai keupayaan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-84 pada 16 September ini.

Beliau berkata ATM pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan seperti di Lubnan, Congo, Somalia, Namibia dan Kemboja selain pernah membuat misi kemanusiaan di Acheh, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata pengalaman menyertai misi-misi berkenaan selain Malaysia yang dikenali sebagai negara bersemangat muhibah akan memudahkan ATM menyertai misi kemanusiaan dan pengaman.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam beberapa misi pengaman dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat pengiktirafan Jabatan Operasi Pengaman PBB.

Satu pasukan ATM disokong oleh Sukarelawan iM4U dijangka akan menghantar satu pasukan tinjauan bagi misi kemanusiaan ke Dhaka dan Chittagong, Bangladesh, hari ini berikutan krisis kemanusiaan yang berlaku di Rakhine dan sempadan Bangladesh ketika ini.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.