Kembara Mahkota Johor Edisi Ke-20 Bermula Hari Ini

JOHOR BAHRU – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 selama empat hari bermula pada hari ini menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memandu sendiri kereta klasik beroda tiga Morgan buatan Britain.

Pelepasan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 9 pagi dengan Sultan Johor memandu kereta beroda tiga berwarna krom dan disaksikan lebih 5,000 pengunjung yang sudah mula membanjiri dataraUpacaran tersebut seawal 7 pagi.

Terdahulu, baginda tiba di dataran tersebut kira-kira pada 8.20 pagi diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; barisan EXCO kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Sepanjang empat hari KMJ berlangsung di 10 daerah di negeri ini membabitkan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 808 kilometer, Sultan Johor akan memandu kereta beroda tiga buatan Britain itu.

Antara acara menarik KMJ 2017 ialah Sultan Ibrahim dijangka mengambil bahagian dalam program bersama-sama rakyat seperti sukan rakyat, lawatan ke tempat pameran dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

KMJ 2017 edisi ke-20 dijangka menutup tirainya di Hutan Bandar di Bandar Putra Kulai pada Selasa. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.