Jamal Persoal Ketiadaan Penyokong PH Dalam Himpunan Aman Rohingya

KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mempersoalkan ketiadaan penyokong pembangkang dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam himpunan aman bagi membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya, semalam.

“Bantahan yang kami tunjukkan ini adalah satu bantahan solidariti rakyat Malaysia. Namun kami berasa amat dukacita. Bukan semua rakyat Malaysia menyokong apa yang kami lakukan.

“Di manakah rakyat Malaysia yang dahulunya menyuarakan kedamaian keamanan, yang berbaju kuning? Di manakah rakyat Malaysia di bawah parti bunga di bawah Tun Mahathir? Di manakah rakyat Malaysia yang katanya cintakan keamanan kedamaian di bawah PKR?,” soalnya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan Myanmar di Bandar Hilir Ampang di sini.

Semalam, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia itu turut mendakwa DAP dipercayai ‘menghalang’ penyokong PH untuk menyertai himpunan aman itu.

Terdahulu, Jamal mewakili Pergerakan Pemuda Umno mengetuai himpunan aman yang disertai lebih 400 orang, berarak dari Menara Tabung Haji kira-kira jam 2 petang tadi sebelum berkumpul di hadapan Kedutaan Myanmar bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman ke atas etnik minoriti Rohingya.

Peserta demonstrasi yang terdiri daripada lelaki dan wanita segenap lapisan umur termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia sanggup berhujan dengan membawa plakad tertera “Save Rohingya” sambil melaungkan “Allahuakbar” di sepanjang perarakan.

Turut kelihatan, Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

Jamal kemudiannya menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Myanmar sebagai tanda bantahan ke atas kekejaman etnik minoriti di wilayah Rakhine itu.

“Ini adalah kali kedua rakan NGO yang diwakili saya menghantar memo yang sebegini. Kami lihat tindakan kerajaan Myanmar yang melakukan pebunuhan etnik secara berterusan ini adalah satu perkara yang di luar daripada batas-batas kemanusiaan.

“Selepas ini kami juga akan mendesak Kementerian Dalam Negeri ataupun kerajaan kalau tidak ada sambutan yang baik daripada kerajaan Myanmar untuk menghalau semua rakyat Myanmar yang berada dalam negara kita. Kita minta juga kalau kedutaan yang kita demo tiap-tiap minggu buang masa. Kita minta tutup sahajalah kedutaan Myanmar ini. Tidak guna apa yang kita buat ini ibarat anjing menyalak bukit,” katanya.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, perangkaan terbaru krisis kemanusiaan menunjukkan kira-kira 164,00 pelarian Rohingya kini sudah memasuki Bangladesh sejak dua minggu lalu untuk lari daripada pertempuran antara tentera Myanmar dengan Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA.)

Perangkaan pelarian terbaru itu dilaporkan sejak pertempuran meletus Oktober lalu, yang dicetuskan oleh operasi ketenteraan ekoran siri serangan berdarah oleh tentera puak Rohingya pada 25 Ogos lepas. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.