Datuk Vida Lancar Buku rahsia perniagaan

Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida hari ini melancarkan bukunya bertajuk “I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida” pada Pameran Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) di Jakarta, Indonesia.

Vida, yang nama sebenarnya Hasmiza Othman, berkata buku itu mengandungi nasihat berguna kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan kerana ia berkisar kisah perjalanannya dalam membina empayarnya yang kini bernilai berjuta-juta Ringgit.

“Mereka yang mahu memulakan perniagaan perlu mendapatkan buku ini supaya mendapat panduan bagaimana untuk tidak tersasar dan membuat pelaburan yang merugikan,” katanya kepada audien pada majlis pelancaran buku itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta.

Turut hadir Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Zamsari Shaharan, Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Budiman Mohd Zohdi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron.

Buku itu mendedahkan kejayaan dikecapinya bukannya dicapai dalam sekelip mata tetapi mengambil masa berdekad. Ia memaparkan pelbagai cabaran, kesulitan, kegagalan dan kekangan dihadapinya sebelum menjadi terkenal menerusi iklan produknya yang tular pada 2015.

‘I Am Me’ tular

Sebagai ahli perniagaan sejati yang tidak pernah ketandusan idea-idea baharu untuk pemasaran, Vida membina pengiktirafan terhadap bukunya dengan melancarkan muzik video menerusi single pertamanya ‘I Am Me’ sebulan lepas.

Dengan irama yang segar dan mengasyikkan, visual menarik dan lirik yang mudah dan santai, lagu itu cepat menjadi tular.

Video itu yang dimuat naik sebulan lepas, telah ditonton 7.7 juta kali.

Vida berkata beliau berpuas hati dengan penghasilan bukunya itu berikutan jadualnya yang padat menyebabkannya tidak dapat meluangkan banyak masa untuknya.

“Penulis telah menjalankan kerja dengan baik. Beliau berjaya memberikan roh terhadap apa yang saya mahu sampaikan dan buku ini seperti apa yang saya impikan.

“Banyak penerbit menghubungi saya tetapi akhirnya saya memilih ITBM. Saya suka kerana mereka mempunyai idea yang jelas dan ke mana hala tuju buku ini kerana saya tidak ada banyak masa untuk diluangkan bagi penghasilannya. Jelas saya telah membuat pilihan betul,” katanya kepada pemberita Malaysia dalam temu bual lebih awal.

Penulis Zinitulniza Abdul Kadir memberitahu Bernama, temu bual dengan jutawan kosmetik itu mengambil masa enam jam dan proses penyusunan bab ke bab pula lebih dua minggu.

“Ia tidak semudah disangka kerana DSV (Vida) mempunyai ideanya sendiri bagaimana ia harus dilakukan. Semasa sesi fotografi, beliau agak skeptikal dengan penampilannya dalam pakaian korporat yang kami pilih untuk dirinya tetapi apabila beliau melihat hasilnya, beliau menukar fikiran dan bersetuju.

“Kami bernasib baik kerana kami mempunyai pasukan yang bagus, bekerjasama rapat untuk memastikan semuanya siap mengikut jadual dan tarikh akhir yang diberikan. Semuanya berjalan lancar,” katanya.

Mohd Khair pula berkata tempahan awal untuk buku itu amat memberangsangkan dengan lebih 5,000 naskhah telah ditempah menerusi akaun Facebook Vida.

“I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida”, berharga RM68 senaskhah, boleh didapati di semua kedai buku utama di Malaysia dalam dua minggu akan datang.

Buku itu juga boleh ditempah menerusi ITBM di itbm.com.my.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.