6 Pemain Muda Negara Diburu Thailand

Enam pemain muda negara berada dalam radar kelab-kelab Liga Thailand selepas prestasi cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim yang mendedahkan pemain-pemain itu adalah tonggak pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin, Nor Azam Azih (Pahang), dua pemain Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew dan Syamer Kutty Abba serta dua bintang muda Felcra FC iaitu Adib Zainudin dan N. Thanabalan, lapor Kosmo.

Menurut Hafizan, beliau telah dihubungi pencari bakat kelab-kelab Liga Thailand selepas menyaksikan prestasi positif mereka ketika menentang pasukan Gajah Perang di pentas final biarpun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 0-1 di Stadium Shah Alam.

Begitupun, Hafizan mendedahkan minat kelab-kelab Liga Thailand ini telah berputik sejak sesetengah pemain itu bermain di peringkat kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bangkok Julai lalu.

“Saya dapat mengesahkan bahawa beberapa pasukan berminat dan bertanyakan mengenai pemain-pemain muda negara ketika mereka bermain di KL2017 baru-baru ini.

“Kelab-kelab di Thailand benar-benar tertarik dengan pemain berkena–an dan sudah pasti mereka cukup berminat untuk mengadakan rundingan dengan pemain-pemain ini.

“Sebenarnya, mereka telah datang menyaksikan persembahan pemain-pemain muda negara di Bangkok. Ketika itu pemain kita gagal menyerlah, tetapi Jafri antara salah seorang pemain di kelayakan itu yang berjaya mencuri perhatian mereka.

“Bagaimanapun, kejayaan layak ke pentas final sekali lagi membangkitkan rasa minat pencari-pencari bakat kelab Thailand ini. Namun apa yang boleh saya katakan, ia masih terlalu awal dan mereka harus berunding dengan kelab masing-masing bagi musim depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Hafizan enggan mendedahkan nama kelab-kelab terbabit tetapi mengakui pasukan berpangkalan di Bangkok dan Chonburi itu serius untuk menyambar khidmat pemain-pemain muda negara.

Ini kerana mereka harus mengintai kelibat seorang pemain import dari Asia Tenggara selepas peraturan baharu yang ditetapkan oleh Liga Premier Thailand (PLT) mewajibkan seorang pemain import dari negara ASEAN bermain bersama kelab Thailand pada musim depan.

“Ini menunjukkan pemain-pemain kita memiliki kualiti setanding dengan Thailand. Jika kita mendapat respon positif daripada Thailand, saya percaya ramai pemain muda akan menonjol sekali gus berkelana ke luar negara untuk menimba pengalaman berharga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.