Gempa Kuat Gegar Mexico

BANDAR RAYA MEXICO – Satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.2 menggegarkan Mexico lewat kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan mencetuskan amaran tsunami.

Memurut AFP, perkhidmatan Seismologi Mexico berkata, gempa itu berpusat di Lautan Pasifik sekitar 100 kilometer dari bandar tepi pantai Tonala, negeri Chiapas pada pukul 11.49 malam (waktu tempatan), lapor Kosmo.

“Ia merupakan gempa bumi besar dalam aspek skala ataupun magnitud, gegaran ini juga adalah yang paling kuat dalam tempoh 100 tahun,” kata Presiden Enrique Pena Nieto semasa berucap dari ibu pejabat Pusat Pengurusan Bencana Nasional di mana beliau memantau bantuan kecemasan.

Namun, Jabatan Geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa itu pada magnitud 8.1, menyamai kekuatan gegaran yang meragut lebih 10,000 nyawa di Bandar Raya Mexico dalam tahun 1985 sekali gus gempa bumi paling dahsyat di negara itu.

Gempa terbaharu itu menggegarkan sebahagian besar Mexico dengan gegaran dirasai hingga ke Bandar Raya Mexico sejauh 800 kilometer dari pusat gempa.

Pena Nieto berkata lagi, tiga orang terbunuh akibat bangunan runtuh di Chiapas.

Di negeri Tabasco yang berjiran dengan Chiapas, dua kanak-kanak disahkan terbunuh, kata gabenor negeri berkenaan.

Namun, kemusnahan paling teruk berlaku di daerah Juchitan dalam negeri Oaxaca di mana 17 orang terbunuh, kata ketua agensi itu.

“Banyak rumah runtuh ketika penghuninya belum sempat melarikan diri,” kata ketua pengarah agensi berkenaan, Luis Felipe Puente kepada saluran berita Milenio.

Menurut Pena Nieto pula, gempa kali ini dirasai oleh 50 juta daripada 120 juta penduduk Mexico.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.