Tun Mahathir Akui Mahu Kerjasama Dengan Anwar

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Jika saya boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), kenapa tidak dengan Anwar,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan Anwar dalam pembangkang.

 

Dr Mahathir ditemui ketika mengiringi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pendaftar Pertubuhan di sini, hari bagi menyelesaikan isu berkaitan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menggesa parti pembangkang supaya bersatu jika benar-benar mahu mentadbir negara.

 

“Dari pengalaman saya, parti pembangkang ini tidak bekerjasama sesama mereka sejak 59 tahun lalu. Kita akan berusaha untuk parti pembangkang bekerjasama,” katanya.

 

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Penaja PPBM berkata, mesyuarat agung pertama bagi pemilihan kepemimpinan parti itu akan diadakan pada tahun depan.

 

Ditanya sama ada parti itu akan menggunakan nama singkatan Bersatu, Muhyiddin berkata, parti itu akan menggunakan nama singkatan PPBM seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

 

PPBM hari ini turut menerima Sijil Pendaftaran menandakan parti itu kini sah sebagai sebuah parti politik. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.