Suara Pengundi Selepas Dua Tahun ‘Langkah Kajang’

KUALA LUMPUR – ‘Langkah Kajang’ yang diumumkan PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014 didakwa ADUN kawasan berkenaan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membawa kesejahteraan jangka pendek dan panjang daerah tersebut.

 

Walaubagaiamanapun janji yang diungkapkan untuk menyelesaikan masalah banjir, kesesakan jalan serta beberapa isu lain hanyalah janji kosong demi meraih kemenangan PKR.

 

Khair Nizam Abd Rashi, 44, berkata, Langkah Kajang diumumkan oleh Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli (waktu itu) hanya meriah sewaktu pilihan raya sahaja namun setelah dua tahun, tiada perubahan berlaku di kawasan Kajang.

 

“Orang Kajang tak nampak apa yang lebihnya Langkah Kajang yang kononnya hebat sangat dirancang, sama sahaja.

 

“Meriahnya Langkah Kajang hanya masa pilihan raya sahaja, masalah selama ini walaupun sudah dua tahun masih sama. Banjir terutamanya, sekarang masih berlaku banjir, janji nak atasi tidak juga,” katanya dipetik Agenda Daily.

 

PRK Kajang dianjurkan selepas penyandang jawatan ADUN kawasan berkenaan  Lee Chin Cheh meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan berkenaan.

 

PKR mengakui, tujuan Anwar bertanding adalah untuk diangkat sebagai Menteri Besar dengan mengarahkan Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatan, lantas melancarkan Langkah Kajang sebagai gerak kerja kempen PKR ke arah mencapai objektif tersebut.

 

Walaubagaimanapun, Anwar terpaksa menarik diri dari bertanding selepas dituduh di mahkamah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

 

PKR kemudiannya mencalonkan Wan Azizah untuk menggantikan Anwar yang akhirnya menang PRK Kajang, namun penduduk sehingga kini masih menagih janji yang ditaburkan didalam Langkah Kajang.

 

“Tiada apa-apa pembangunan pun sejak Wan Azizah ambil alih Kajang, tak tahu pada masa akan datang,” kata  Ibrahim Abbas, 76.

 

Beliau yang merupakan pemandu teksi di Kajang sejak sekian lama menjelaskan perniagaannya semakin terjejas akibat kesesakan lalu lintas yang tidak pernah reda.

 

Masalah sama turut dikongsi peniaga aksesori telefon bimbit, Marcus Lau, 35, yang melihat kesesakan lalu lintas sebagai punca perniagaannya di tengah pusat bandar semakin merosot.

 

“Perniagaan sejak tahun lalu semakin teruk, Kajang ni kita lihat selalu saja sesak, ramai orang tapi perniaga kecil macam saya ‘bisnes’ tak bagus.

 

“Setiap tahun ada masalah banjir di sini, semua peniaga tepi-tepi ni bising sebab setiap kali banjir peniaga mesti banyak rugi, air banjir tinggi sampai lutut sini, tutup kedai, rosak sana sini,” kata Marcus mengimbau insiden banjir yang sering berlaku di kawasan perniagaannya. – M.Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.