Serah Laporan Penyebaran Soalan Palsu UPSR Kepada SKMM

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan hari ini menyerahkan laporan rasmi berhubung penyebaran soalan palsu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di media sosial kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

 

Beliau yang hadir ke pejabat SKMM di Cyberjaya menyerahkan laporan rasmi mengenai penyebaran gambar soalan palsu UPSR itu kepada Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi MCMC Zulkarnain Mohd Yasin.

 

 

Menurut catatan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Kamalanathan berkata beliau turut menyerahkan tiga cetakan skrin individu yang menyebarkan maklumat palsu tersebut.

 

 

Beliau berkata pihak SKMM berjanji akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tidak bertanggungjawab.

 

 

“Ini harus menjadi satu pengajaran kepada semua pengguna media sosial agar tidak menyiarkan sebarang berita tanpa menyemak kesahihan,” katanya.

 
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini menafikan terdapat soalan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 2, UPSR 2016, berbaur perkauman seperti yang tersebar di media sosial.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.