Rosyam Nor Berjalan Kaki Demi ‘Walk for World Quran Hour’

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor menyelesaikan misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer bagi mempromosikan ‘World Quran Hour’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) petang kelmarin.

 

Perjalanan mengambil masa kira-kira sepuluh jam untuk tiba ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM sekitar jam 4.30 petang.

 

Sebagai ikon Rumah Ngaji, Rosyam bersyukur misinya berjalan lancar tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.

 

Sepanjang perjalanannya, Rosyam berkata ramai yang menegur, membunyikan hon dan mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.

 

Bukan misi berjalan kaki yang ditekankan, tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan mengajak masyarakat Malaysia juga dunia terutamanya umat Islam supaya dapat turut serta dalam program meraikan Al-Quran itu.

 

“Saya harap misi kecil ini dapat memberi impak yang besar.

 

“World Quran Hour akan menjadi titik permulaan untuk manusia menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup,” katanya memetik laporan Awani.

 

Jelas Rosyam, program yang akan disambut seluruh dunia itu juga medan terbaik untuk umat Islam yang sekian lama tidak membaca dan merujuk al-Quran untuk kembali ke kitab suci itu.

 

Sekurang-kurangnya satu jam komitmen diberikan untuk menyentuh, membelek, membaca, memahami, menyelami maksudnya atau apa sahaja cara untuk bersama al-Quran.

 

Katanya pada 11 haribulan ini sesiapa sahaja dapat bersama-sama meraikan rumah ngaji tersebut.

 

“Tidak pandai mengaji pun tak mengapa, baca terjemahannya. Tidak boleh baca terjemahan, baca surah Al-Fatihah. Tidak boleh baca Al-Fatihah, pandang Quran. Tidak boleh pandang al-Quran, kita bincang pasal al-Quran. Itu sahaja,” jelasnya.

 

 

Terdahulu, misi ‘Walk for World Quran Hour’ adalah cetusan idea Rosyam sendiri, bermula dari Masjid Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam pada jam 6.30 pagi membawa senaskah al-Quran bersama.

 

 

Acara sambutan World Quran Hour peringkat Malaysia akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM mulai pukul 9 pagi Ahad ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.