Rakyat bimbang keselamatan kerja di Singapura

SHAH ALAM – Rata-rata rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura melahirkan kebimbangan susulan laporan jangkitan virus Zika yang terus meningkat di Kota Singa itu.

 

Hairul Rajak, 33 melahirkan kebimbangan atas kesihatannya namun akui lebih bimbang ketika berada di kawasan pemeriksaan kastam berbanding di tempat kerjanya yang terletak di Tuas, Singapura.

 

“Bimbang itu memang bimbang, lebih-lebih lagi isteri baru melahirkan bayi minggu lepas sebab setiap hari terpaksa masuk ke Singapura awal pagi dan balik rumah di Johor pada waktu malam.

 

“Tapi lagi bimbang apabila di kawasan kastam sebab di situ orang ramai bersesak-sesak. Kita pun tak perasan bila nyamuk gigit,” katanya kepada Sinar Online.

 

Kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di Johor Bahru meningkat selepas seorang wanita mengandung disahkan menjadi mangsa pertama dijangkiti Zika di negeri itu.

 

Walaupun mengamalkan langkah pencegahan dengan memakai baju berlengan panjang, namun menurut Hairul, malang memang tidak berbau.

 

“Kalau nak kena itu, kena juga tapi selagi boleh elak itu saya elaklah. Nak duduk rumah saja tak boleh pula, saya kena pergi kerja.

 

“Harap-harap kami dijauhkan daripada jangkitan Zika ini,” katanya.

 

Kes jangkitan Zika di Singpura terus meningkat setiap hari dan data terbaharu mencatatkan 283 kes dicatatkan pihak berkuasa negara itu.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.