Pusat Pemulihan Remaja Atasi Penagihan Dadah Diwujudkan

BACHOK – Sebuah pusat pemulihan remaja bakal diwujudkan di Kota Bharu dalam usaha untuk mengatasi masalah penagihan dadah yang melibatkan golongan tersebut.

 

Pengarah Bahagian Rawatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, kini hanya terdapat sebuah pusat pemulihan lelaki di negara ini iaitu di Karangan, Kedah yang menempatkan penagih lelaki.

 

Beliau berkata, remaja lelaki ini tidak akan dibiarkan bercampur dengan golongan dewasa yang mempunyai pengaruh yang berbahaya terhadap remaja.

 

“Kita merancang buka dua buah lagi pusat untuk remaja ini dan salah satunya bertempat di CCRC Kota Bharu. Kini ia 70 peratus siap dan mungkin akan dibuka tahun depan. Tempat ini boleh menempatkan penagih sukarela atau atas perintah mahkamah.

 

“Kalau sukarela mereka akan berada di sini dalam tempoh enam bulan dan jika perintah mahkamah pula sekitar sembilan bulan hingga setahun,” katanya ketika sidang media di pejabat AADK Bachok semalam.

 

Beliau turut serta dalam Ops Cekap yang melibatkan anggota AADK Bachok bersama Rela, Rukun Tetangga dan NGO di sekitar Bachok semalam. Hadir sama Pengarah AADK, Kelantan, Ibrahim Abd Ghani.

 

Selain itu, Wan Addenan juga berkata, 14 lokasi panas penagihan dadah di seluruh negara akan digempur untuk memastikan kawasan itu bebas sepenuhnya melalui pelbagai kaedah yang dirancang AADK.

 

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Kangar (Perlis), Gong Badak (Terengganu), Kuala Kedah (Kedah), Kepala Batas (Pulau Pinang), Sitiawan (Perak), Petaling Jaya (Selangor), Tanjung Keling (Melaka) dan Slow Machang (Pasir Mas, Kelantan).

 

“Di lokasi ini kita tumpukan untuk bebaskan ia dari pengaruh dadah. Kita laksanakan pelbagai inisiatif baru untuk rawatan dan pemulihan penagih ini. Di Kelantan kita tumpu di Slow Machang, Pasir Mas dan di Bachok ini pula kita sasarkan Perupuk sebagai lokasi pembersihan.

 

“Kita ada enam elemen pendekatan untuk mencapai impak positif  antaranya melalui kehadiran kita dalam masyarakat yang dapat memberi rasa selamat, melaksanakan Ops Cegah, Ops Sarang, peranan media baru untuk menguar-uarkan program AADK, mewujudkan ikon anti dadah yang berpengaruh serta memberi daya upaya komuniti iaitu masyarakat bekerjasama dalam memerangi dadah,” katanya.

 

Manakala, Ketua Pegawai AADK Bachok, Abdullah Ali berkata, operasi bersepadu bersama Rukun Tetangga, Rela dan NGO itu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu operasi dari rumah ke rumah dan sekatan jalan raya.

 

Dalam operasi itu, lapan orang yang positif methamphetamine ditahan dalam Ops Cekap yang berlangsung dari petang kelmarin hingga awal pagi semalam.

 

Semua kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.