Majlis Kahwin Batal, Bekas Bakal Suami Fara Fauzana Akui Tertekan

KUALA LUMPUR – Bekas calon suami Fara Fauzana iaitu Mohamed Hafiz Badiuzzama mengakui dirinya tertekan dengan keputusan mengejut itu kerana segala persiapan dan undangan telah dibuat.

 

Menurutnya beliau pada mulanya tidak sabar untuk menamatkan zaman bujang dengan ‘kekasih’ yang dicintainya itu tetapi terpaksa redha dengan ketentuan tersebut.

 

“Saya bukan selebriti bang, saya tak perlukan publisiti, hanya insan biasa…jadi bila jadi perkara sebegini, saya berasa sangat ‘terkesan’.

 

“Saya menghargai media tetapi janganlah buat spekulasi yang tak betul, rasanya kenyataan balas saya kepada media semalam sudah cukup jelas dan panjang lebar dan sekarang ini saya perlu ‘move on’ walaupun ia bukan mudah,” katanya memetik status di laman Facebook Syaril A Kadir.

 

Mohamed Hafiz, 30 turut menjelaskan dirinya memerlukan ruang dan masa untuk menenangkan fikirannya bersama keluarga yang menjadi tunjang kepada kekuatannya selama ini.

 

Beliau sebelum ini mendedahkan dirinya tidak pernah berkahwin seperti didakwa sebuah akhbar, pada Selasa lalu sambil menegaskan tidak pernah merahsiakan status dirinya kepada pengacara tersebut sejak mereka mula berkawan.

 

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah berkahwin dan saya tidak pernah merahsiakan tentang status perkahwinan kepada Fara.

 

“Selain itu, status tersebut juga bukanlah punca perkahwinan tersebut dibatalkan. Jika hendak tahu tentang sebab sebenar anda perlu bertanya sendiri dengan Fara,” ujarnya.

 

Pada Ahad lalu, Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, membuat kejutan apabila memberitahu majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini dibatalkan.

 

Kata bekas penyampai radio itu, keputusan tersebut dibuat atas sebab-sebab peribadi yang tidak boleh dikongsi olehnya.

 

“Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang pada 17 September ini dibatalkan.

 

“Keputusan membatalkan pernikahan saya dengan pemuda bernama Hafiz, seperti yang saya umumkan pada sidang akhbar pada 1 Ogos lalu, dibuat atas sebab-sebab yang terlalu peribadi,” katanya.

 

Dalam pada itu, Hafiz menjelaskan ketidakhadirannya pada majlis sidang media pengumuman perkahwinan mereka pada 1 Ogos lalu adalah atas persetujuan bersama dengan Fara bagi melindungi privasi keluarganya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.