Lapangan Terbang Senai Lelong 3 Pesawat

KUALA LUMPUR – Tiga pesawat, Boeing 747 yang ditinggalkan terbiar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Baharu sejak 10 tahun yang lalu, akhirnya dilelong untuk tujuan sekerap.

 

Pesawat berusia 30 tahun, 2 kargo dan sebuah komersial, boleh menjadi milik sesiapa yang sanggup membayar RM5.3 juta setiap satu, lapor The Star hari ini.

 

Menurut laporan itu, pesawat milik sebuah syarikat yang berpusat di Amerika dibawa masuk ke negara ini untuk tujuan penerbangan tetapi langsung yang tidak diusik selepas itu.

 

Nilai pesawat tersebut sebelum ini, RM120 juta setiap satu tetapi selepas ditinggalkan bertahun dan diliputi kotoran dan jelaga ekoran terdedah kepada unsur-unsur tersebut, kini ia umpama tidak bernilai.

 

Bukan itu sahaja, pemiliknya pula dikatakan berhutang lebih RM1 juta sebagai caj parkir kepada lapangan terbang tersebut.

 

Selepas lapangan terbang membawa pemilik kapal terbang ke mahkamah dan memenangi kes itu, mereka akhirnya melelong pesawat berkenaan.

 

Menurut jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA), walaupun pesawat itu didaftar di luar negara, terdapat garis panduan yang boleh dipenuhi jika ia mahu didaftarkan di Malaysia.

 

Akhbar itu juga melapor, pegawai lapangan terbang dari Senai enggan mengulas mengenainya ketika dihubungi hari ini.

 

Ini bukan kali pertama pesawat dijumpai ditinggalkan di lapangan terbang.

 

Pada Disember tahun lalu, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) menyiarkan iklan dalam akhbar untuk mengesan pemilik 3 jet kargo Boeing 747-200F yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selama lebih daripada setahun.

 

Menurut iklan itu, jika pemilik gagal “mengambil semula” pesawat itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis, maka MAHB berhak menjual atau melupuskan pesawat di bawah peraturan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Swift Air Cargo Capt Blue Peterson kemudiannya tampil membuat tuntutan pemilikan dan menurut laporan The Star, kes itu masih belum selesai.

 

Terdapat satu lagi kes yang serupa di Lapangan Terbang Subang pada 2014 dan MAHB berjaya mengesan pemilik pesawat. Ia dikembalikan sebaik bayaran-bayaran tertentu dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.