Tuduh Hasil GST Dirompak, Petunjuk Jelas Lim Guan Eng Tak Faham Maksud Akaun Disatukan

Menteri Kewangan membuat dakwaan kononnya BN mencuri wang tuntutan GST. Sebagaimana kenyataannya sebelum ini, Guan Eng sekali lagi mengambil kesempatan dari kekurangan pengetahuan orang ramai terhadap bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi untuk membuat serangan politik.

Alasan utama Guan Eng kononnya wang tuntutan GST dirompak adalah kerana wang kutipan GST dibayar ke dana disatukan (consolidated fund) kerajaan dan bukan di dalam akaun amanah tuntutan GST.

Rang Undang Undang GST yang kemudiannya menjadi Akta GST dibentangkan di Parlimen di mana Guan Eng turut hadir di mana akta itu menjelaskan dengan terperinci mekanisme kutipan GST.

Sebagaimana pendapatan dari cukai lain, kutipan GST dibayar ke dalam dana disatukan kerajaan. Berdasarkan kepada nasihat kastam, satu jumlah diperuntukkan bagi tuntutan GST yang kemudiannya disalurkan ke dalam akaun amanah.

Mekanisme yang sama turut digunakan negara lain yang sudah melaksanakan GST termasuk Singapura. Seksyen II, Bab 5 Akta GST Singapura menyatakan:

“5. (1) Pelaksana adalah bertanggungjawab secara amnya untuk melaksanakan peruntukan akta ini dan bagi kutipan cukai dan perlu membayar kesemua jumlah yang dikutip ke dalam Dana Disatukan.”

Kerajaan Singapura turut meletakkan kutipan GST mereka di dalam akaun disatukan sebagaimana kerajaan Malaysia.

Adakah ini bermakna parti PAP Singapura turut mencuri dari wang tuntutan GST mereka?

Bagi kenyataan Guan Eng kononnya ‘BN mencuri wang tuntutan GST’ adalah bermakna tiada satu pun syarikat daripada beratus ribu syarikat di Malaysia pernah menerima wang tuntutan GST mereka.

Adakah masuk akal, selepas tiga tahun, tiada satu pun daripada beratus ribu syarikat ini menyatakan secara terbuka yang BN ‘mencuri’ wang tuntutan GST mereka dan mereka tak pernah menerima wang tuntutan itu?

Ya, memang ada kejadian di mana kerajaan lewat membayar tuntutan GST terutama ketika GST baru dilaksanakan. Tetapi kelewatan itu diperbaiki dan pada masa sama peniaga mula memahami bagaimana GST berfungsi.

Kebanyakan kelewatan itu adalah ekoran dokumen tidak lengkap dari pemohon tuntutan wang GST. Dalam kebanyakan kes, tuntutan diimbangi dengan GST yang perlu dibayar syarikat.

Maka, anda perlu berhati hati dengan apa yang keluar dari mulut Menteri Kewangan anda. Kebanyakan kenyataannya tidak 100 peratus boleh diyakini atau benar kerana kebolehannya ialah membuat tuduhan dan bermain politik.

Tonton bagaimana Menteri Kewangan anda terjerit-jerit dalam Dewan Rakyat dan ramai yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi, terperdaya.

Jadilah rakyat yang berilmu. – Kredit RakyatReport FB

2 thoughts on “Tuduh Hasil GST Dirompak, Petunjuk Jelas Lim Guan Eng Tak Faham Maksud Akaun Disatukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.