PH Amal Sikap ‘Blame Game’ Tuduh Wang GST Hilang Sedangkan Ada Dalam Akaun Disatukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau “tidak fikir” wang bayaran balik GST yang mengalami kurangan sebanyak RM18 bilion itu hilang seperti dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ini kerana wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan.

“Maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan akaun amanah di mana kerajaan memasukkan wang bayaran balik GST mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion.

Lim Guan Eng sebelum ini menuduh wang hasil GST berjumlah RM18 bilion telah hilang dirompak kerana dimasukkan ke Akaun Disatukan kerajaan sedangkan apa yang dilakukan kerajaan BN dahulu selaras dengan ketetapan Perkara 97 Perlembagaan Malaysia yang dengan jelas menetapkan semua hasil percukaian dimasukkan ke Akaun Disatukan.

Menurut Lim, wang itu hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan sepatutnya dikembalikan kepada peniaga 2 minggu selepas mereka memfailkan tuntutan.

Mengulas lanjut, Zahid menjelaskan wang bayaran balik balik GST itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui Bajet.

“Wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui Bajet, sama ada mengikut ucapan belanjawan atau di luar ucapan belanjawan.

“Maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di Dewan untuk dibahaskan, jadi jangan menuduh dengan tujuan mewujudkan persepsi semuanya kesalahan kerajaan yang lalu,” tegasnya.

Zahid berkata, ini disebabkan kerajaan lepas juga didokong oleh pegawai kerajaan, terutamanya pegawai Kementerian Kewangan.

“Mereka harus berlaku adil terhadap pegawai berkenaan yang menjalankan tugas mengikut prinsip ketaatan kepada ‘government of the day’,” katanya.

Zahid berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga seharusnya tidak mengamalkan sikap ‘blame game’, seolah-olah mereka masih lagi pembangkang.

“Kalau mereka tidak boleh menyelesaikan masalah itu serahkan kepada kami sebagai kerajaan, kami akan selesaikannya dan mencari jalan untuk menyelesaikan,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.