Angka Korban Gempa Bumi Di Lombok Lebih 340 Orang

LOMBOK – Angka korban terkini susulan kejadian gempa bumi di pulau peranginan Lombok, Indonesia meningkat kepada sekurang-kurangnya 347 mangsa.

Menurut laporan berita antarabangsa yang memetik agensi Antara, 1,447 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala 165,003 dipindahkan ke penempatan lebih selamat.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho yang melaporkan perkembangan terkini menjangkakan angka korban akan terus meningkat.

Antara lain, sejumlah 2,000 pelancong juga telah dipindahkan dari beberapa kepulauan terkenal di Lombok.

Gempa bumi berukuran 7 pada skala Richter menggegar Lombok seminggu selepas gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda, seterusnya mengorbankan 17 mangsa termasuk seorang warga Malaysia.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat digerakkan dan angka kematian dijangka akan terus meningkat.

Sementara itu, Malaysia masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Indonesia dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata lampu hijau daripada kerajaan Indonesia penting bagi memastikan koordinasi bantuan dapat dilakukan dengan sempurna. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.