JDT Jadi Mangsa Tiap Kali Berkunjung Ke Perak, Kata TMJ

KUALA LUMPUR – Penaung kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim berasa hairan terhadap pihak tertentu yang menjadikan insiden pergaduhan antara penyokong JDT dan Perak di Stadium Perak pada malam Sabtu sebagai isu yang begitu besar.

 

Ini kerana, katanya, sejak dari Stadium Lumut sehingga perlawanan terbaharu, JDT telah menjadi mangsa dan menghadapi masalah setiap kali berkunjung ke Perak.

 

“Tidak kira berapa banyak perkara yang baik yang kami lakukan, kami akan sentiasa dianggap sebagai jahat. Tidak kira betapa betul sekalipun kami, di mata mereka kita akan sentiasa salah,” katanya.

 

Malah TMJ berkata, selain daripada JDT, pasukan seperti Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur juga akan menghadapi masalah yang sama apabila berkunjung ke negeri berkenaan.

 

“Jadi, saya tidak terkejut dengan masalah ini lagi. Kini Bangsa Johor terkejut apabila cerita sebenar telah diolah malah ditambah-tambah lagi untuk menyedapkan cerita dan menyebelahi satu pihak, dengan media dan laman media sosial menyebelahi pihak mereka,” tambahnya dalam wawancara yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

 

Terdahulu, media melaporkan kekecohan berlaku selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak, yang mana sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan Harimau Selatan dan seorang jurufoto akhbar cedera dipercayai terkena balingan objek keras, selepas tuan rumah, Perak tewas 0-1 kepada pasukan pelawat, JDT.

 

TMJ turut menjelaskan bahawa insiden sebenar membabitkan kekecohan yang berlaku antara penyokong JDT dan Perak telah ditokok tambah bagi mensensasikannya dan meletakkan punca kekecohan itu semata-mata daripada pihak JDT.

 

“Saya mempunyai satu unit pasukan khas dari kontinjen polis Johor yang sentiasa mengiringi pasukan JDT ketika perlawanan di laman sendiri mahupun di tempat lawan.

 

“Saya telah menerima laporan dari mereka dan telah menelitinya, ternyata ia yang amat berbeza dengan laporan yang dikeluarkan oleh pihak media cetak dan media sosial ketika ini. Saya sarankan untuk mendengar laporan dari kedua-dua pihak terlebih dahulu dan tidak menuding jari sesuka hati kepada satu pihak sahaja,” katanya.

 

Mengulas mengenai saranan pihak tertentu yang mahukan potongan mata pasukan dilaksanakan bagi penyokong yang melakukan kekecohan pada perlawanan, TMJ berkata, JDT terima dan akur sekiranya pihaknya ada melakukan kesalahan tersebut.

 

“Saya telah menyuarakan pendapat saya ini sejak 2 tahun yang lalu kepada FAM untuk mendenda dan memotong mata bagi mana-mana penyokong pasukan yang membuat kekecohan dalam sesuatu perlawanan.

 

“Saya tidak tahu mengapa baru sekarang ada pihak tertentu yang ingin mencadangkan tentang pemotongan mata ini sedangkan perjalanan liga bolasepak kita sudahpun berjalan separuh musim. Sepatutnya ianya diselaraskan dari awal musim lagi,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.