Video: Bahasa Melayu Bersifat Global

Putrajaya – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lebih banyak Kursi Pengajian Bahasa Melayu perlu ditubuhkan di universiti-unversiti tersohor di seluruh dunia sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Justeru, Perdana Menteri menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di luar negara untuk merealisasikan hasrat tersebut.

 

 

Pada masa sama, beliau mahu kementerian itu mengadakan kerjasama dengan sekolah atau institusi pendidikan tinggi luar negara terutama dalam bidang penyelidikan, pendokumentasi maklumat dan penghantaran tenaga pengajar berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu.

 

“Akibat perkembangan dan ledakan ICT ini, sedikit sebanyak telah memberikan cabaran baharu kepada bahasa Melayu, untuk memasuki alam siber dan seterusnya bersaing dengan bahasa-bahasa lain yang lebih dominan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 di sini Sabtu.

 

Najib berkata bagi membolehkan masyarakat antarabangsa mempunyai akses luas kepada bahasa Melayu maka usaha perlu dilakukan untuk membekalkan bahan bacaan dan rujukan, mengeksport filem tempatan yang menonjolkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia serta membangunkan portal.

 

Beliau berkata meskipun bahasa Inggeris diberi ruang untuk berkembang dalam sistem pendidikan negara tetapi kerajaan tetap menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pendidikan dan pengantaraan rasmi di negara ini.

 

Mengenai edisi kesembilan PABM tahun ini, Najib berkata ia merupakan satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu bersifat global.

 

“Semestinya, pertandingan ini menjadi platform mempertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan sebagai tanda simbolik bahawa bahasa Melayu sememangnya bersifat global, telah berkembang maju serta dimartabatkan sehingga ke seantero dunia,” katanya.

 

PABM 2015 disertai 71 pelajar jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Alam Melayu, Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.