Pemilihan MIC Oleh Penyokong Palanivel Tidak Sah

SUBANG JAYA – Proses pencalonan dan pemilihan jawatan Presiden MIC yang dijalankan penyokong Datuk Seri G. Palanivel hari ini adalah tidak sah dan tidak rasmi, kata Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

 

Beliau berkata sebanyak 2,800 ketua cawangan MIC yang berhimpun di sini hari ini bersetuju untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan presiden yang dijalankan itu.

 

“Kita telah pun memutuskan bahawa segala tindakan mesyuarat atau pemilihan yang dijalankan oleh mana-mana pihak lain selain daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim MIC 2009 yang ada pada hari ini, adalah tidak rasmi dan tidak diterima dari segi perundangan.

 

“Saya diberitahu ada pencalonan yang telah berlangsung di Sentul pagi ini untuk jawatan presiden parti MIC, itu bukan sah, tidak rasmi dan tidak diterima oleh mana-mana pihak termasuk parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bersama Ketua Cawangan MIC di sini, hari ini.

 

Hari ini, dalam proses pencalonan anjuran penyokong Palanivel di Sentul, bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu diisytiharkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden MIC bagi penggal 2013-2016.

 

Dr Subramaniam menegaskan bahawa pencalonan rasmi bagi jawatan nombor satu parti itu akan diadakan pada 21 Ogos ini dan hanya calon yang bakal dipilih pada hari penamaan itu adalah rasmi.

 

Pemilihan bagi jawatan presiden parti berusia 68 tahun itu akan diadakan pada 6 September ini sekiranya terdapat calon yang ingin bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

 

Menteri Kesihatan itu berkata perhimpunan ketua cawangan hari ini turut sebulat suara menyokong beberapa resolusi termasuk menerima kehilangan lima keanggotaan MIC secara persendirian (Ipso Facto) termasuk Palanivel.

 

Empat lagi ahli MIC yang hilang keahlian adalah dua naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Tan Sri S. Balakrishnan, bekas Setiausaha Agung MIC, A. Prakash Rao dan ahli CWC, A. K. Ramalingam.

 

Dr Subramaniam berkata perhimpunan itu juga menyokong tindakan wajar yang perlu dilaksanakan oleh CWC Interim 2009 mengikut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti mana yang terkandung dalam surat yang dihantar oleh pihak ROS bertarikh 5 Disember 2014, 19 Januari dan 6 Februari 2015.

 

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas ROS mengeluarkan notis pada 5 Disember lepas dengan meminta parti itu mengadakan pemilihan semula parti.

 

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada setiausaha agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara “ipso facto”, Palanivel bukan lagi anggota MIC.

 

Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku presiden MIC. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.