Pembangkang Dakwa Tak Pernah Musuhi SPRM

SHAH ALAM – Parti pembangkang tidak pernah memusuhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengendalikan kes rasuah di negara ini.

 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, sebaliknya parti pembangkang hanya memusuhi ketidakadilan pengendalian kes rasuah oleh kerajaan.

 

“Dalam banyak kes pegawai SPRM telah menjalankan siasatan teliti dan mendalam tetapi Jabatan Peguam Negara tidak meneruskan pendakwaan atas sebab sebab penuh misteri walaupun SPRM menyatakan kes itu sangat kukuh untuk didakwa.

 

“Sebenarnya tugas SPRM hanya untuk menyiasat dan bukan untuk mendakwa dan menangkap…di sinilah letaknya kelemahan yang ketara sistem kita di mana SPRM menyiasat dan Jabatan Peguam Negara mendakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Raja Kamarul Bahrin juga berkata, beliau kesal apabila SPRM masih tidak diberikan kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak khususnya kes rasuah berprofil tinggi walaupun banyak kali bersuara di Parlimen.

 

“Contoh yang utama berprofil tinggi adalah kes keruntuhan Stadium Terengganu yang sehingga hari ini bermasalah.

 

“Saya sendiri bercakap dengan pegawai-pegawai SPRM yang begitu kecewa serta patah semangat kerana tiada pendakwaan oleh Peguam Negara atas berpuluh kes yang jelas ada kesalahan dan satu pun tidak ada pihak yang didapati bersalah,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata lagi, tindakan penukaran pegawai SPRM ke bahagian lain dengan serta-merta amat dikesali, lebih-lebih lagi selepas pihaknya membuat kunjungan hormat, baru-baru ini.

 

“Siapa yang selamat dalam kerajaan kita hari ini? Timbalan Perdana Menteri di pecat, Peguam Negara dipecat dan keseluruhan SPRM digugat dan diugut.

 

“Siapa yang bersuara akan dikenakan tindakan. Nampak gayanya kita telah menjadi ‘Police State’ di mana pihak polis bertindak ke atas setiap pihak atas arahan pihak tertinggi Kerajaan,” dakwanya lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.