Dulu Pembangkang Kata SPRM Tidak Telus, Sekarang Lain Pula

PENGKALAN CHEPA – Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menggesa agar rakyat tidak diheret dengan permainan pembangkang yang disifatkannya sebagai hanya mencari keuntungan politik.

 

Antaranya, cubaan memainkan sentimen rakyat dalam kes penahanan beberapa pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Ujarnya, tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk melaga-lagakan kakitangan awam.

 

“Kita lihat pihak pembangkang cuba menangguk di air keruh dengan mengambil contoh apa yang berlaku di SPRM satu cubaan memainkan emosi rakyat.

 

“Kalau dulu kes Teoh Beng Hock, mereka kata SPRM tidak telus, SPRM ejen kerajaan dan sebagainya, hari ini mereka ke SPRM memberikan sokongan dan bermain emosi.

 

“Apakah ini satu permainan pembangkang untuk melagakan-lagakan agensi kerajaan di samping bermain emosi rakyat,” ujarnya.

 

Irmohizam ditemui selepas merasmikan mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.

 

Beliau yang juga ahli parlimen Kuala Selangor berkata apa yang berlaku di SPRM merupakan satu tindakan bagi mencari kebenaran.

 

Ia tidak menggambarkan bahawa kedua-dua agensi itu, SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh bekerjasama. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.