Ada Tindakan Sabotaj Dari Pihak Tertinggi Parti – Khalid Ibrahim

KEMASKINI: Shah Alam – Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan PKR yang memecat keanggotaan beliau daripada parti adalah “salah dan cacat dari segi undang-undang”.

Katanya, beliau bagaimanapun tetap menerima keputusan tersebut dan akan meneruskan khidmatnya sebagai menteri besar, sementara menunggu pandangan Sultan Selangor berhubung kedudukannya.

“Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai menteri besar mengikut kemampuan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khalid keputusan tersebut dilakukan tanpa mendengar sebarang penjelasan beliau.

“Saya tidak diberi peluang untuk jawab tuduhan mengikut proses yang betul & percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti.

“Seperti kenyataan saya sebelum ini, parti sendiri keliru terhadap pertuduhan yang dikemukakan kepada saya. Malah, PKR gagal menyatakan perkara yang saya lakukan melanggar Perlembagaan PKR,” katanya lagi.

Terdahulu petang ini, Majlis Pimpinan Pusat PKR memtuskan untuk memecat keanggotan beliau daripada parti berkuatkuasa serta merta.

Beliau didapati mengingkari keputusan mesyuarat MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai yang sebulat suara memilih presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baru.

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau :

 

1) Saya terima keputusan oleh PKR utk membatalkan keahlian saya dalam parti w/pun keputusan adalah salah & cacat dari segi undang-undang.

2) Seperti yang saya nyatakan menerusi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab, PKR sendiri keliru dgn maklumat lanjut mengenai tuduhan terhadapn saya.

3) PKR telah gagal menjelaskan secara khusus artikel mana dalam perlembagaan parti yang telah saya cabuli.

4) Saya tidak diberi peluang untuk jawab tuduhan mengikut proses yang betul dan percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti

5) Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini & mendengar pandangan baginda.

6) Sehingga isu ini diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar.

7) Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam menempuh masa-masa yang sukar ini.

 

Abdul Khalid Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.