Hamas Cipta Roket Sendiri

Baitulmaqdis – Seorang pegawai tentera Israel yang enggan mendedahkan namanya mendakwa, majoriti roket yang dilancarkan oleh pergerakan Hamas me-rupakan bom buatan sendiri yang dibina di Gaza.

“Kebanyakan roket yang dilancarkan merupakan bom buatan sendiri, hanya sebilangan kecil sahaja daripadanya merupakan Fajr 5 yang dibina di Iran,” jelas pegawai itu.

Katanya, badan roket berkenaan diperbuat daripada paip air dalam pelbagai diameter, sebelum diisi dengan bahan peledak yang dihasilkan daripada produk yang digunakan dalam bidang pertanian.

Ujarnya lagi, pergerakan Hamas berjaya mengadaptasi proses membina senjata sendiri selepas kerajaan Mesir bertindak meruntuhkan terowong-terowong tikus yang digunakan untuk menyeludup barangan ke Rafah.

“Orang dari luar Gaza telah mengajar mereka bagaimana untuk membina senjata sendiri dan ada sesetengah penduduk Gaza mempelajarinya daripada negara-negara lain seperti Syria dan Iran,” katanya, sambil menambah kira-kira 150 orang terlibat dalam proses pembinaan roket di Gaza.

Pendedahan itu membuktikan bahawa Israel terkejut dengan keupayaan pejuang Hamas yang serba kekurangan untuk mencipta senjata sendiri ketika pertempuran dengan rejim Zionis berlanjutan selama 29 hari.

Menurut sumber tentera Israel, sepanjang pertempuran berlaku, kumpulan pejuang Hamas melancarkan lebih 3,300 serangan roket dan mortar ke Israel dengan 500 daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.