Guan Eng Saman Ahli Parlimen PAS

Pulau Pinang – Selepas tiada kata maaf diterima, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkenaan terowong bawah laut Pulau Pinang.

Lim mengeluarkan surat tuntutan kepada Nasruddin selepas pada Khamis memberinya 24 jam untuk menarik balik “penipuan” yang dibuatnya dan membuat permohonan maaf kepadanya.

Notis tuntutan saman itu dikeluarkan oleh peguam Lim di Mureli Navaratnam Advocates and Solicitors berhubung posting berunsur fitnah yang didakwa dibuat Nasruddin di Facebook bertajuk ‘Apa Beza Kidex dan Penang Tunnel?’ pada Rabu lepas.

“Dia tidak jawab tuntutan saya untuk dia meminta maaf, jadi peguam saya mengeluarkan notis semalam. Kami akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” Lim memberitahu pemberita di pejabatnya hari ini.

Pada Khamis, Lim berkata Nasruddin berpegang kepada “dakwaan dan penipuan tidak berasas” berkenaan pembiayaan projek pembinaan terowong dasar laut dan penganugerahan projek berbilion ringgit itu.

“Penipuan yang dilakukannya sama seperti cybertroopers yang pro-Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Nasruddin dalam postingnya mempersoalkan mengapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima kecaman ekoran projek Lebuhraya Kidex, namun Lim tidak dikenakan apa-apa tindakan berhubung pembinaan terowong dasar laut yang didakwanya diberikan secara rundingan terus.

Katanya, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion di negeri dipimpin DAP itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

Menurut tuntutan yang dikeluarkan itu, “Kandungan posting itu melemparkan fitnah yang teruk terhadap karekter dan reputasi Lim dan menimbulkan kebencian awam terhadapnya sebagai ahli politik kanan, negarawan dan ketua menteri Pulau Pinang.”

Nasruddin juga didakwa bertindak melulu dan berniat jahat bertujuan memalukan Lim dan menjejaskan reputasinya, menyebabkan Lim dicemuh berikutan posting Facebook itu.

Lim memintanya menarik balik kenyataannya itu dengan menyiarkan permohonan maafnya di laman sosial miliknya dan dua akhbar nasional yang sudah ditentukan.

Dia juga mahu Nasruddin membuang postingnya dalam masa 24 jam selepas menerima notis tuntutan itu dan memaklumkan peguam Lim berapa jumlah yang sanggup dibayarnya kepada Lim sebagai ganti rugi bagi kecederaan, malu, mudarat dan kesusahan yang ditanggungnya dalam masa 7 hari.

Semalam, dalam satu post Facebook bertajuk ‘Terowong Dasar Laut – Penjelasan Tuduhan Fitnah,’ Nasruddin mempertahankan kenyataan terdahulunya mengatakan ia dari dapatan dan data awam dan dakwaan dia melakukan fitnah dan pembohongan adalah tidak berasas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.