Ceramah PKR Di Shah Alam, Jadi Medan Hentam Khalid Ibrahim

Shah Alam – Ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan pada malam ini menjadi medan menghentam dan mengkritik pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pelbagai tuduhan.

Sekiranya sebelum ini pentas ceramah PKR dan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran, malam tadi pentas ceramah penerangan PKR memperlihatkan parti itu mengecam menteri besarnya sendiri.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam ceramahnya berkata, PKR terpaksa menceritakan kebaikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sedangkan hakikatnya parti itu “menelan pahitnya” disebabkan segala tindakan Khalid.

Zuraida berkata, tindakan memecat Khalid dibuat ekoran keangkuhan menteri besar itu dan kedegilan beliau menguruskan negeri tanpa mengambil kira pandangan parti yang diwakilinya.

“Walaupun kita telan pahit berucap inilah menteri besar yang baik, itu ini, tapi hati kita telan pahit.

“Bagaimana angkuhnya, degilnya menteri besar kita dan terpaksa buat tindakan demikian,” katanya, dalam ceramah di Seksyen 19, Shah Alam sebentar tadi.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Khalid dipilih sebagai menteri besar apabila anggota parti dan ahli berkempen untuk memastikan kemenangannya dalam pilihan raya umum.

“Kalau tak nak ikut parti, buat parti baru, jadi menteri besar sendiri. Parti mana dia wakil, Bebas? Satu sahaja wakil dia, bolehkah jadi menteri besar?” soal Zuraida lagi.

“Masuk pilihan raya, tengok, boleh menang tidak?” kata Zuraida.

Beliau berkata, kedegilan Khalid yang enggan berundur sebagai menteri besar untuk digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga memperlihat sikap Khalid yang sebenar.

“Tapi kalau inilah caranya, kita perlu menyokong (pecat Khalid),” katanya.

Antara pemimpin PKR yang dilihat memberikan penjelasan berhubung pemecatan Khalid hari ini termasuklah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Saifuddin dalam ceramahnya berkata, sikap keras kepala Khalid ditunjukkan apabila beliau seringkali gagal hadir dalam mesyuarat biro politik sehinggakan parti memberi kelonggaran kepada wakil pejabat menteri besar Selangor menyertainya demi memastikan isu di Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

“‎Khalid sering tidak datang mesyuarat biro politik. Ada kelonggaran kita berikan, anggota exco Selangor kita panggil, pegawai pejabat Khalid juga boleh duduk dalam mesyuarat, supaya isu Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

“Ternyata tidak ada perubahan,” kata Saifuddin di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.