KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Pas seolah-olah ‘menunggang’ penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman apabila meletakkan syarat.
“Pas bagi kata dua kepada saya: mereka hanya akan sokong cadangan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman jika saya sertai perhimpunan Turun Anwar yang mereka anjur. Itu kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS.
“Sokongan bersyarat ni maksudnya nak menunggang.
“Hari ini, kami yang sembilan Ahli Parlimen PKR ni dah mula hantar surat secara rasmi kepada semua Ahli Parlimen, termasuk dari pembangkang. Dari situ, kita sama-sama lihat siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju,” jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Ujar Rafizi, bukanlah hak beliau nak hukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman, seperti mana Pas terus menghukum beliau tidak ikhlas selagi tidak sertai perhimpunan mereka.
“Saya minta satu saja, Pas jangan ulang kesilapan semasa skandal 1MDB dahulu. Kami susah payah membuktikan penyelewengan, dia mudah saja pergi jadi auditor dan umum mereka berpuas hati.
“Pas selalu sebut pasal politik matang. Politik matang maksudnya kita mengutarakan pandangan mengenai sesuatu isu berkepentingan awam dengan objektif.
“Kalau pandangan itu nampak sama, bukan bermakna kita bersama atas pentas politik kepartian.
“Yang pembangkang, pandangan itu dilihat sebagai membangkang. Yang kerajaan, pandangan itu dilihat sebagai menegur. Dua-dua perlu main peranan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.