OPR turun kepada 2.75 peratus, susut 25 mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Seiring dengan itu, kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus.

Ini adalah kali pertama bank pusat menurunkan OPR selepas mengekalkan kadar itu sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

“Petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan pada tahap tertentu, aktiviti yang diawalkan.

“Unjuran pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal.

“Namun begitu, prospek ini masih dibayangi ketidaktentuan berhubung perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh membawa kepada peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BNM berkata, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang berterusan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport.

Melangkah ke hadapan, ia berkata pertumbuhan dijangka terus disokong oleh daya tahan permintaan dalam negeri dengan pertumbuhan pekerjaan dan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik, serta langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Katanya, pengembangan aktiviti pelaburan akan terus didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, tahap pelaksanaan pelaburan yang diluluskan yang tinggi secara berterusan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang sedang berjalan.

“Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar-dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama dunia, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti pelancongan yang rancak turut dijangka dapat meningkatkan prospek eksport Malaysia,” katanya memetik BH.

Bank pusat walau bagaimanapun berkata, imbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan masih cenderung ke arah penurunan, terutamanya disebabkan oleh perdagangan global yang perlahan, sentimen yang lemah, serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Katanya, kadar inflasi keseluruhan dan teras pula masing-masing mencatat purata 1.4 peratus dan 1.9 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini.

Menurut BNM lagi, secara keseluruhan, inflasi bagi 2025 dijangka kekal sederhana, disebabkan oleh keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan domestik yang berlebihan.

Ia menegaskan bahawa tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad, sekali gus menyumbang kepada keadaan kos domestik yang sederhana.

“Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan daripada pelaksanaan pembaharuan dasar domestik yang telah diumumkan dan akan datang terhadap inflasi dijangka dapat dikawal,” katanya.

Mengenai prestasi ringgit pula, BNM menjangkakan mata wang tempatan akan terus dipengaruhi terutamanya oleh faktor luaran.

Prospek ekonomi Malaysia yang positif dan pembaharuan struktur domestik, yang dilengkapi dengan inisiatif berterusan bagi menggalakkan aliran masuk modal, akan terus memberikan sokongan berdaya tahan kepada ringgit, katanya.

“Walaupun ekonomi domestik berada pada landasan yang kukuh, ketidaktentuan yang berterusan dalam perkembangan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

“Oleh itu, pengurangan OPR ini merupakan langkah awal yang bersifat berjaga-jaga untuk mengekalkan laluan pertumbuhan yang stabil bagi Malaysia dalam keadaan jangkaan inflasi yang sederhana.

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan serta inflasi dalam negara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat