OPR turun di tengah ketidaktentuan ekonomi global, inilah hasil tatakelola yang baik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Menteri Kewangan itu berkata, Langkah ini berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global, berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti.

Kata Anwar, walaupun sektor eksport berdepan cabaran, kerajaan telah melaksana pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan penerokaan pasaran baharu.

“Reformasi di bawah Ekonomi Madani terus mengukuhkan daya tahan negara apabila kadar inflasi sehingga Mei 2025 turun ke 1.2 peratus, terendah dalam 51 bulan, malah kadar penyertaan tenaga buruh pula cecah rekod 70.8 peratus.

“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” ujar Perdana Menteri.

Terdahulu, BNM membuat keputusan untuk menurunkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

BNM berkata, seiring itu, kadar siling dan lantai koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3.0 peratus dan 2.5 peratus.

Ini adalah kali pertama bank pusat menurunkan OPR selepas mengekalkan kadar itu sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

“Petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan pada tahap tertentu, aktiviti yang diawalkan.

“Unjuran pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal.

“Namun, prospek ini masih dibayangi ketidaktentuan berhubung perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh membawa kepada peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya dalam satu kenyataan.

BNM berkata, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang berterusan pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport.

Melangkah ke hadapan, ia berkata pertumbuhan dijangka terus disokong oleh daya tahan permintaan dalam negeri dengan pertumbuhan pekerjaan dan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik, serta langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Katanya, pengembangan aktiviti pelaburan akan terus didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, tahap pelaksanaan pelaburan yang diluluskan yang tinggi secara berterusan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang sedang berjalan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat