MCMC dan SDEC jalin kerjasama rapatkan jurang digital luar bandar Sarawak

- Advertisement -

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) terus memperkukuh usaha mempercepat kesalinghubungan digital menerusi Projek SMART600, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bakal merubah landskap digital di kawasan luar bandar Sarawak.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama bagi Projek SMART600 berlangsung hari ini di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, disempurnakan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman.

Projek SMART600 menyasarkan pembinaan 600 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar Sarawak yang dilaksanakan dalam dua fasa, dengan 300 menara bagi setiap fasa. Pembinaan ini bertujuan menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar termasuk Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin, sekali gus dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 180,000 penduduk luar bandar di Sarawak.

Setakat ini, 587 daripada keseluruhan 600 menara telah siap dibina, dengan 431 daripadanya telah pun diaktifkan menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN). Menara-menara selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

Selain memperluaskan capaian komunikasi mudah alih, Projek SMART600 turut meningkatkan kelajuan Internet bagi menyokong penggunaan aplikasi berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), penstriman video, Internet of Things (IoT) serta aplikasi perkhidmatan awam digital.

Penduduk luar bandar Sarawak akan turut menikmati pilihan lebih luas melibatkan lima Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) serta perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).

Projek ini menjadi realiti hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.

SDEC yang mewakili kerajaan negeri Sarawak akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) bagi pembinaan menara komunikasi, manakala MCMC bersama empat syarikat telekomunikasi utama (CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) akan membiayai kos operasi (OPEX).

Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua organisasi tersebut.

Projek SMART600 turut menyokong aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 yang bertujuan memperkasa sosioekonomi rakyat negeri itu melalui ekonomi digital, selain memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada arus pembangunan digital negara.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat