Oleh: AB JALIL BACKER
Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, atau AMM-58, oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi tadi, menandakan bermulanya beberapa hari yang bakal menguji keupayaan diplomasi Wisma Putra dan Menteri Luarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebagai platform tertinggi dalam perancangan dasar luar ASEAN, AMM-58 menghimpunkan sepuluh Menteri Luar negara anggota bersama rakan-rakan dialog utama dunia dalam usaha memperkukuh kesepaduan dan kerjasama menjelang pembentukan Komuniti ASEAN 2045.
Cabaran paling utama pastinya ialah menyatukan pandangan dan meluruskan persefahaman dalam kalangan negara anggota dan rakan luar dalam dunia yang semakin rencam dan penuh tekanan geopolitik.
Hari ini menyaksikan dua detik yang mencorakkan hala tuju diplomasi serantau ucapan dasar Perdana Menteri Malaysia dan penyertaan rasmi Algeria dan Uruguay ke dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Majlis perasmian yang berlangsung pagi tadi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bukan sekadar acara protokol. Ia menjadi pentas penting untuk Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mengemukakan naratif dasar luar rantau ini yang lebih berprinsip, berpandangan jauh dan bersifat pelaksanaan.
Perpaduan dan Autonomi Strategik ASEAN
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa perpaduan dan autonomi strategik adalah kekuatan sebenar ASEAN dua prinsip asas yang semakin penting dalam menghadapi tekanan kuasa besar dan ketidaktentuan global.
Dalam nada tegas, Anwar menyentuh trend penggunaan tarif ekonomi sebagai senjata geopolitik oleh kuasa-kuasa besar, yang menurutnya telah menjejaskan negara-negara membangun dan menimbulkan ketidakseimbangan dalam sistem ekonomi antarabangsa.
“ASEAN perlu berdiri di atas kaki sendiri,” tegas beliau, sambil menyeru negara anggota untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar dan sebaliknya memperkukuh perdagangan intra-ASEAN. Langkah ini, katanya, adalah penting untuk memastikan ketahanan ekonomi rantau ini di samping memperkukuh posisi strategiknya di mata dunia.
Lebih menarik, Perdana Menteri turut mencadangkan pendekatan yang lebih bersepadu antara dasar luar dan dasar ekonomi dengan kerjasama rapat antara Kementerian Luar, MITI dan Kementerian Ekonomi.
Pendekatan ini dilihat sebagai langkah konkrit dalam menjayakan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, di mana diplomasi tidak lagi bersifat simbolik tetapi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan dan kestabilan serantau.
TAC dan Diplomasi Berprinsip ASEAN
Petang tadi pula menyaksikan satu perkembangan bersejarah apabila Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan bahawa dua negara Algeria dan Uruguay telah secara rasmi menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia, atau TAC.
Tindakan ini menjadikan Algeria dan Uruguay sebagai negara ke-56 dan ke-57 yang menyertai TAC menyertai barisan panjang negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, India, Jepun, dan Kesatuan Eropah yang turut menerima prinsip-prinsip diplomasi ASEAN.
Namun, untuk memahami kepentingannya, kita perlu menelusuri latar belakang TAC itu sendiri.
TAC dimeterai pada 24 Februari 1976 di Bali oleh lima negara pengasas ASEAN: Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand. Ia lahir daripada keperluan mendesak untuk mewujudkan rangka kerja diplomatik dan kerjasama yang menjamin keamanan serta kestabilan serantau pada era Perang Dingin.
Perjanjian ini menetapkan beberapa prinsip asas yang kini menjadi identiti ASEAN dalam hubungan antarabangsa:
- Menghormati kemerdekaan, kedaulatan, dan integriti wilayah negara anggota.
- Tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
- Menyelesaikan pertikaian melalui cara aman.
- Menolak penggunaan atau ancaman keganasan.
- Menggalakkan kerjasama serantau demi pembangunan dan kesejahteraan bersama.
Pada asalnya bersifat dalaman ASEAN, TAC mula dibuka kepada penyertaan negara luar pada awal 2000-an sebagai usaha ASEAN membentuk jaringan diplomatik global berasaskan prinsip damai dan tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar. Sejak itu, TAC menjadi simbol pendekatan ASEAN yang inklusif, neutral, dan berdialog.
Malaysia Pacu Wajah Global ASEAN
Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC bukan sekadar perkembangan protokol. Ia mencerminkan bahawa nilai-nilai yang dipegang ASEAN kedaulatan, keamanan, dan kerjasama kini mendapat tempat di benua lain, khususnya Afrika Utara dan Amerika Latin.
Dalam hal ini, Malaysia memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai negara pengasas TAC, tetapi juga sebagai pemudah cara untuk memperluas pengaruh diplomatik ASEAN secara konsisten dan berprinsip. Usaha ini membuktikan bahawa Malaysia tidak hanya menjadi pengerusi secara bergilir, tetapi aktif memimpin agenda memadukan diplomasi tinggi dengan prinsip multilateralisme.
Jalan kepimpinan Malaysia
Gabungan dua peristiwa besar hari ini ucapan dasar Perdana Menteri dan peluasan TAC memperlihatkan bagaimana Malaysia sedang menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memacu hala tuju yang lebih jelas dan tegas.
ASEAN kini menjadi sebuah forum serantau yang lebih global. Dan hari ini, Malaysia telah menetapkan nadanya kesatuan dan kebebasan ASEAN yang bukan sahaja dijamin oleh negara-negara luar tetapi juga memberi indikator terhadap kesatuan dalam isu kemanusiaan dan perdagangan global.