KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memelihara keselamatan negara bukan cuma di darat tetapi juga di perairan.
Justeru, Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin berkata kementeriannya akan terus berdiri teguh bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan memberikan sokongan dari segi dasar, aset dan kebajikan.
“Pagi ini saya bertemu dengan Laksamana Maritim Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Rosli Abdullah, di pejabat saya.
“Kami berbincang panjang tentang usaha dan cabaran yang dihadapi APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara. Ini bukan tugas yang mudah kerana hampir setiap hari ada saja kes pencerobohan, penyeludupan, bot nelayan asing, dan macam-macam lagi.
“Saya tegaskan bahawa KDN akan terus berdiri teguh bersama APMM, memberikan sokongan dari segi dasar, aset dan kebajikan.
“Kita percaya, keselamatan negara bukan hanya bergantung kepada apa yang kita jaga di darat, tetapi juga apa yang kita lindungi di laut,” tegas Saifuddin.