WASHINGTON- Amerika Syarikat (AS) bakal menjana kira-kira AS$100 bilion (RM424.1 bilion) daripada hasil tarif terbaru yang diumumkan Presiden Donald Trump, dan jumlah itu berpotensi meningkat kepada AS$300 bilion (RM1.27 trilion) menjelang akhir tahun ini.
Bercakap pada mesyuarat Kabinet Rumah Putih, semalam, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, berkata ia susulan peningkatan kutipan hasil daripada kempen perdagangan Trump, lapor Reuters.
Katanya, kutipan utama tarif baharu hanya bermula pada suku kedua apabila Trump melaksanakan hampir keseluruhan duti 10 peratus ke atas import AS serta menaikkan duti terhadap keluli, aluminium dan kenderaan.
Beliau berkata, hasil kutipan tarif dianggar mencecah hampir AS$2.8 trilion (RM11.87 trilion) dalam tempoh 10 tahun oleh Pejabat Belanjawan Kongres, selain menyifatkan angka itu mungkin terlalu rendah.
“Jumlah berkenaan dijangka melebihi AS$300 bilion menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Perbendaharaan berkata, sasaran AS$300 bilion itu merujuk pada 31 Disember ini, bukannya tahun fiskal kerajaan yang berakhir pada 30 September.
Mencapai sasaran kutipan tarif AS$300 bilion tahun ini, bakal mempamerkan peningkatan kutipan secara pesat beberapa bulan akan datang serta kenaikan tarif mendadak dan meluas berbanding kadar semasa.
Perbendaharaan melaporkan rekod kutipan kasar duti kastam sebanyak AS$22.8 bilion (RM96,7 bilion) pada Mei lalu, hampir empat kali ganda berbanding jumlah AS$6.2 bilion (RM26.3 bilion), tempoh sama tahun lalu.
Ini menjadikan jumlah kutipan duti kastam bagi lapan bulan pertama tahun fiskal 2025 adalah AS$86.1 bilion (RM365.2 bilion), manakala kutipan bagi lima bulan pertama tahun ini bernilai AS$63.4 bilion (RM5.4 trilion).
Perbendaharaan dijadual mengumumkan hasil belanjawan bagi Jun lalu, diramal menunjukkan satu lagi peningkatan ketara dalam kutipan tarif, Jumaat ini.
Berdasarkan Penyata Harian Akaun Perbendaharaan, jumlah kutipan duti kastam dan cukai eksais mencecah lebih AS$122 bilion (RM518.2 bilion) bagi tahun fiskal sehingga 30 Jun lalu.
Trump menetapkan 1 Ogos bagi pelaksanaan kadar tarif ‘timbal balik’ lebih tinggi ke atas hampir semua rakan dagang, selain ruang rundingan dengan beberapa negara dalam tempoh tiga minggu akan datang untuk mencapai perjanjian yang boleh menurunkan kadar itu.
Beliau pada mesyuarat Kabinet sama mengumumkan bakal mengenakan tarif 50 peratus ke atas import kuprum dan logam, manakala tarif tambahan akan dikenakan ke atas semikonduktor dan farmaseutikal.