KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Johor akan terus mendesak agar kerajaan negeri dan Persekutuan berhenti berpolitik dan mengejar kepentingan politik semata-mata,
sebaliknya mula bekerja dengan komitmen sebenar demi rakyat.
Ketua Armada Bersatu Johor Alias Rasman berkata, pihaknya menyatakan komitmen penuh untuk menyokong segala usaha yang selari dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menyentuh isu-isu asas kesejahteraan rakyat Johor termasuk pembukaan Hospital Pasir Gudang, cadangan gaji minimum RM4,000 di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), serta pembangunan sistem bekalan air yang mampan dan lestari demi mengangkat martabat rakyat Johor.
“Patik merafak sembah dan menjunjung kasih atas titah Tunku Mahkota Ismail yang merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung akibat kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.
“Titah ini juga merupakan satu ‘wake-up call’ kepada sebuah kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa, namun masih gagal mengurus perkara asas seperti gaji bermaruah, perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih untuk rakyat.
“Kami di Armada Bersatu Negeri Johor menyatakan komitmen penuh untuk menyokong segala usaha yang selari dengan titah Tunku, demi mengangkat
martabat rakyat Johor.
“Sesungguhnya kami percaya bahawa kesejahteraan Bangsa Johor adalah amanah yang wajib dipelihara bersama,” katanya.