Tugas Sukar Sekat Kemaraan Belgium Menanti Perancis

SAMARA – Selepas menjaringkan gol pertamanya di Piala Dunia, pertahanan Perancis, Raphael Varane memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak leka dan perlu lebih agresif menyekat serangan bertali arus Belgium pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2018 di Saint Petersburg Rabu ini.

Varane yang berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Antoine Griezmann untuk gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Uruguay di peringkat suku akhir yang lalu percaya pasukannya akan berdepan tugas sukar ketika berdepan Belgium.

“Berdepan Belgium bukan tugas yang mudah dan jika kami mahu menempah tiket ke final, Perancis perlu lebih agresif ketika berdepan mereka. Saya yakin kami bakal menghadapi aksi penuh dengan cabaran fizikal se­perti menentang Uruguay tetapi kami berjaya melaluinya dengan cemerlang.

“Saya percaya kami mampu mengatasi Belgium kerana tahun ini kami mempunyai pasukan yang agak muda dan mereka menunjukkan banyak kemajuan serta kematangan sejak kejohanan bermula.

“Perkara yang perlu diberi penekanan adalah mengukuhkan benteng pertahanan dan sentiasa mampu menyesuaikan diri dengan kekuatan lawan,” kata pemain pertahanan tengah, Real Madrid itu.

Ketika Belgium menunjukkan corak permainan menyerang ketika menewaskan Brazil 2-1 di peringkat suku akhir, Varane menegaskan mereka perlu berwaspada dan mengawal pergerakan tonggak utama Belgium, Romelu Lukaku dan Eden Hazard.

“Ini adalah perlawanan separuh akhir Piala Dunia, jadi tiada pasukan mempunyai kelebihan biarpun diletakkan sebagai pilihan. Belgium adalah pasukan muda, namun kami semakin menunjukkan kematangan.

“Kami tahu perlawanan itu memang sengit. Lukaku boleh memberikan masalah kepada mana-mana pemain pertahanan. Jadi, kami tidak boleh membuka ruang kepadanya kerana dia adalah pemain berkualiti.

“Begitu juga seperti Hazard, saya tahu corak permainannya ketika bersama Lille sebelum ini. Dia adalah pemain berkua­liti dan mempunyai kemahiran menggelecek yang baik. Kami tidak boleh memberi ruang kepadanya dan perlu mengawal mereka,” ujarnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.